Subuh
5:43
Syuruk
7:06
Zuhur
1:12
Asar
4:36
Maghrib
7:17
Isyak
8:31
Setempat

SUSULAN BELANJAWAN KECEKALAN

Panel dekati golongan yang hadapi kesukaran cari kerja akan ditubuh

Zaqy akan pimpin jawatankuasa yang akan beri tumpuan kepada pekerja berusia lebih 40 tahun
May 28, 2020 | 05:30 AM

SEBUAH jawatankuasa yang diterajui Menteri Negara (Pembangunan Negara merangkap Tenaga Manusia) Zaqy Mohamad untuk mendekati anggota masyarakat yang menghadapi kesukaran mencari kerja atau diberhentikan kerja, dengan tumpuan diberikan kepada pekerja berusia lebih 40 tahun, akan ditubuhkan.

Jawatankuasa yang akan antara lain menggembleng tenaga Mendaki Sense dan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) itu akan membantu golongan ini mendapatkan bantuan sementara, menjalani latihan dan mengenal pasti bidang yang boleh mereka terokai.

Mengumumkan demikian semasa satu wawancara menerusi sidang video dengan media semalam, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli Masagos Mohamad berkata NTUC dan Mendaki Sense telah bekerjasama untuk mendekati golongan pekerja dan mereka yang baru lulus daripada institusi pengajian tinggi di bawah inisiatif awal yang dijalankan pasukan bertindak SGTeguhBersatu sebelum ini.

Namun menurutnya, kebanyakan usaha mendekati golongan ini dijalankan secara dalam talian akibat langkah yang diambil di tengah-tengah penularan Covid-19 sekarang.

"Walaupun saya gembira hampir 20,000 orang telah cuba menjalani program atau memasuki portal tersebut, kebanyakan mereka berusia bawah 40 tahun.

"Masih ramai daripada masyarakat kita yang mungkin belum tahu cara atau tidak tahu adanya usaha tersebut.

"Itu satu masalah yang mungkin perlu kita fikirkan bagaimana untuk memastikan maklumat penting ini dapat sampai ke seluruh masyarakat," ujarnya.

Oleh itu, Encik Masagos berkata jawatankuasa itu - yang dijangka memulakan tugas dalam masa seminggu dua lagi - akan meluaskan jangkauan mereka.

"Kalau kami sudah berjaya (mendekati) mereka yang bawah 40 tahun kerana mereka mesra dengan Internet, kita tidak boleh berdiam diri dan bersorak sudah berjaya kalau mereka yang berusia lebih 40 tahun masih tidak tahu cara terbaik untuk mengatasi krisis kerjaya atau pekerjaan mereka," katanya.

Semasa membentangkan Belanjawan Kecekalan - Belanjawan keempat yang dibentang dalam tempoh sekitar tiga bulan - kelmarin, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Heng Swee Keat mengumumkan skim Program Pelatih Pertengahan Kerjaya SGUnited baru yang akan menawarkan 4,000 tempat bagi golongan pertengahan kerjaya yang sedang menganggur dan mencari kerja.

Bagi pekerja setempat berusia 40 tahun dan ke atas yang layak, pemerintah akan turut menggandakan insentif buat majikan yang mengambil mereka bekerja, sehingga 40 peratus gaji pekerja sepanjang tempoh enam bulan, sehingga $12,000 secara keseluruhan.

Encik Masagos berkata usaha jawatankuasa baru itu juga termasuk memastikan masyarakat tidak ketinggalan merebut peluang dalam bidang baru yang bakal dikenal pasti Majlis Pekerjaan Nasional yang diterajui Menteri Kanan Tharman Shanmugaratnam.

Menarik perhatian pentingnya usaha menjalani latihan, Encik Masagos menggesa masyarakat memanfaatkan kredit SkillsFuture mereka sepenuhnya.

"Masa depan yang bakal kita hadapi tidak akan sama dengan masa-masa lalu.

"Dengan kecekalan dan membekalkan diri dengan kemahiran yang diperlukan pada masa akan datang, insya-Allah kita akan (muncul) lebih baik berbanding sebelum krisis tersebut," ujarnya.

Beliau turut menarik usaha yang akan dijalankan oleh Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) untuk terus membantu perusahaan.

Baru-baru ini, perniagaan di rumah (HBB) yang mengalami kegenjotan sementara baru-baru ini telah diberikan Bantuan Kewangan Sementara (TRF) sebanyak $500, bagi mereka yang layak, menerusi bantuan DPPMS.

Namun pada masa akan datang, Encik Masagos berkata perusahaan dapat memanfaatkan pakej digital yang disediakan pemerintah, yang antara lain boleh membantu mereka merubah sistem pembayaran agar mereka dapat menggunakan sistem bayaran elektronik (e-bayaran).

"Pemerintah juga mahu beri sokongan sebanyak-banyaknya bagi perusahaan supaya mereka memasuki alam digital dalam semua bidang termasuk pembayaran, pemasaran, menyebarkan maklumat dan sebagainya.

"Ini semua akan dilakarkan dalam masa terdekat dan DPPMS akan beri bantuan sebaik-baiknya," kata Encik Masagos.


"Masa depan yang bakal kita hadapi tidak akan sama dengan masa-masa lalu.
"Dengan kecekalan dan membekalkan diri dengan kemahiran yang diperlukan pada masa akan datang, insya-Allah kita akan (muncul) lebih baik berbanding sebelum krisis tersebut.''

- Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian