EMPAT jawatankuasa untuk setiap kaum Melayu, Cina, India dan Serani telah ditubuhkan demi meningkatkan usaha membina dan mengabadikan kenangan bersama di Singapura.
Jawatankuasa Sejarah Lisan Masyarakat (COHC) yang dikendalikan Arkib Negara itu bertujuan memanfaatkan kepakaran serta hubungan yang telah dibina empat golongan masyarakat tersebut bagi mendapatkan kisah asli dan relevan daripada individu yang mewakili masyarakat Singapura.
Keempat-empat jawatankuasa tersebut akan bekerjasama dengan pihak berkepentingan dalam masyarakat bagi membangunkan koleksi sejarah lisan dan memastikan bahawa ia komprehensif, mempunyai skop yang pelbagai, dan relevan kepada masyarakat Singapura secara amnya.
Menteri Perhubungan dan Penerangan, Dr Yaacob Ibrahim, mengumumkan penubuhan jawatankuasa itu secara rasmi semasa acara 'Menyumbang kepada sejarah Singapura' di Perpustakaan Negara semalam.
Bercakap kepada media selepas acara itu, Dr Yaacob berkata walaupun pelbagai usaha telah dilakukan bagi membina koleksi sejarah lisan di Singapura, masih lagi terdapat kekosongan dalam sejarah yang belum dapat diisi.
"Apa yang kami inginkan adalah untuk anggota jawatankuasa ini membantu Arkib Negara dan pusat sejarah lisan mengenal pasti mereka yang harus ditemu ramah bagi mengisi ruang dalam sejarah ini.
"Kita seringkali lebih cenderung menemu ramah pemimpin, ahli politik atau personaliti yang dikenali ramai, tetapi ramai lagi yang boleh mengayakan lagi koleksi sejarah lisan kita secara keseluruhan," kata beliau.
Menurut Dr Yaacob, anggota empat jawatankuasa itu juga akan menjalani latihan bagi menemu ramah individu yang mereka pilih untuk dipaparkan.
"Ini bukan sahaja penting bagi membina koleksi sejarah kami, malah memberikan generasi akan datang sejarah Singapura yang lebih sempurna," ujarnya.
Pakar sejarah lisan COHC, Encik Mark Wong, berkata objektif tertubuhnya jawatankuasa itu adalah untuk membantu menilai aspek mana yang harus dipertingkat dalam usaha mengumpul sejarah lisan.
"Anggota jawatankuasa ini mempunyai hubungan yang lebih rapat dengan masyarakat mereka, untuk itu mereka akan membantu dalam mengenal pasti dan menemu ramah individu tersebut.
"Selain itu, mereka juga akan berusaha melibatkan orang ramai kerana mereka perlu tahu bahawa sejarah lisan itu penting dan mereka juga boleh memainkan peranan dalam usaha mengumpulkan bahan sejarah," katanya.
Semasa acara itu juga, beberapa contoh kisah yang dikumpulkan daripada masyarakat telah dipaparkan melalui siri video yang dihasilkan di bawah kempen Projek Kenangan Singapura.
Acara 'Menyumbang kepada sejarah Singapura' itu diadakan bagi menekankan pentingnya setiap warga Singapura merakamkan sejarah lisan mereka sendiri dan ia mengandungi kenangan bersama serta perspektif berbeza dalam memahami sejarah Singapura.
Setiap jawatankuasa mempunyai seramai empat anggota atau lebih yang akan diperbaharui setiap tahun.
Buat masa kini, COHC bagi masyarakat Melayu sudah pun ditubuhkan dengan seramai empat anggota yang terdiri daripada ahli akademik dan anggota perkhidmatan awam, manakala jawatankuasa lain masih lagi dibentuk.