WARGA tempatan boleh merujuk kepada garis panduan dan rangka kerja hukuman bagi memahami hukuman yang diberikan oleh mahkamah di sini.
Ini setelah sebuah panel penasihat hukuman dibentuk untuk memberikan ketelusan dan kesedaran terhadap hukuman yang dikenakan, menurut kenyataan Kementerian Undang-Undang (MinLaw) semalam.
Panel itu, antara lain terdiri daripada hakim, peguam dan pegawai kanan pemerintah, boleh mencadangkan pendekatan termasuk hukuman penjara berdasarkan bahaya dan kesalahan serta faktor yang memburukkan dan/atau meringankan hukuman.
Garis panduan panel boleh diambil oleh pihak pendakwa atau pembelaan dalam hujah mereka di mahkamah tetapi tidak terikat di sisi undang-undang.
"Ini akan memberikan penjelasan yang lebih luas tentang kemungkinan hasil hukuman dan faktor hukuman yang berkaitan," kata MinLaw dalam kenyataannya.
Panel penasihat tidak terikat dengan mahkamah, terbit panduan hukuman bersifat luas
Panel itu dipengerusikan oleh Hakim Mahkamah Rayuan Steven Chong dan terdiri daripada 11 anggota lain.
Mereka ialah Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Menteri Kedua Undang-Undang, Encik Edwin Tong; Hakim-hakim Mahkamah Tinggi, Encik See Kee Oon, Cik Hoo Sheau Peng, dan Encik Vincent Hoong; Timbalan Peguam Negara, Encik Tai Wei Shyong; Setiausaha Tetap (Ehwal Dalam Negeri), Encik Pang Kin Keong; Setiausaha Tetap (Undang-Undang), Encik Loh Khum Yean; Pendaftar Mahkamah Negara, Encik Christopher Tan Pheng Wee; Hakim Daerah, Encik Kow Keng Siong; Timbalan Pesuruhjaya Siasatan dan Perisikan Pasukan Polis Singapura, Cik Florence Chua dan Encik Sunil Sudheesan dari Persatuan Guaman Singapura.
Panel itu juga boleh berunding dengan pihak berkepentingan yang berkaitan semasa menyediakan garis panduan, kata MinLaw.
MinLaw juga menambah bahawa semasa mesyuarat pertama panel itu, mereka telah bersetuju untuk mengkaji potensi lingkungan garis panduan itu untuk digunakan, termasuk garis panduan mengenai prinsip hukuman am.
Semasa mengumumkan panel itu di Parlimen pada 5 Mac lalu, Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, berkata fungsi utamanya adalah untuk menerbitkan panduan hukuman yang akan bersifat meluas tetapi mahkamah tidak akan terikat dengannya.
Encik Shanmugam menambah bahawa kementeriannya juga telah mengkaji pengalaman luar, seperti England, Wales dan Scotland, dalam membuat keputusan untuk menubuhkan panel itu.
Pada masa ini, garis panduan hukuman dikeluarkan dalam keputusan mahkamah.