Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

PERSIDANGAN PAP 2022

PAP perlu kerja keras, tiada jaminan akan terus menang pilihan raya akan datang: DPM Wong

Nov 07, 2022 | 05:30 AM



PARTI Tindakan Rakyat (PAP) telah mentadbir Singapura sejak ia mencapai pemerintahan sendiri pada 1959, namun tiada jaminan bahawa ia akan terus-terusan memenangi pilihan raya akan datang untuk membentuk pemerintah, kata Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, semalam.



"Oleh itu, kami akan bekerja keras dan berusaha keras dua kali ganda, tiga kali ganda untuk mendapatkan semula kerusi yang telah hilang, dan akan berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan sokongan rakyat Singapura untuk mendapatkan mandat yang kuat untuk memerintah," kata Encik Wong.



Beliau berkata demikian di Persidangan Parti Tindakan Rakyat (PAP) 2022 yang diadakan di Pusat Konvensyen Resorts World Sentosa semalam.



Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan, berkata beliau tidak ragu-ragu bahawa konteks politik di Singapura akan bertambah sengit dengan peredaran masa, dan menyeru anggota parti supaya bersedia dan memperkukuhkan diri bagi menghadapi pilihan raya yang lebih sukar dan tidak menentu.



Beliau berkata bahawa Parti Pekerja (WP) kini merupakan satu kuasa politik yang mantap dan mempunyai dua Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) dan sebuah Kawasan Undi Perseorangan (SMC).



Beliau menambah bahawa WP telah bertanding di enam kawasan undi dalam pilihan raya yang lalu dan jumlah undi yang mereka terima bagi keenam-enam saingan itu adalah lebih daripada undi yang diterima oleh PAP.



"Bagaimana jika WP bertanding untuk lebih banyak kerusi? Adakah PAP masih memenangi 61 peratus undi di seluruh negara? Adakah kita akan mendapatkan kuasa setelah itu?" tanya Encik Wong.



Beliau menyatakan bahawa sebagai sebuah parti politik, PAP perlu jelas menghadapi cabaran politik dan mencabarnya.



"Setiap pilihan raya dari sekarang adalah mengenai parti mana yang akan membentuk pemerintah," tambah beliau.



Semakan dalaman PAP selepas pilihan raya umum 2020 menunjukkan bahawa adanya keinginan yang lebih kuat untuk periksa dan mengimbangi serta mempelbagaikan parlimen dan ini akan berkekalan.



"PAP mesti mengiktiraf dan menghormati keinginan rakyat Singapura dengan keinginan ini," ujar Encik Wong.



Encik Wong juga menyatakan bahawa pada masa yang sama, para aktivis parti mesti mempunyai keyakinan untuk mewakili PAP, mempertahankan nilai-nilainya dan menjelaskan kepercayaan dan dasar-dasar parti itu.



Pengalaman negara-negara lain menunjukkan parti-parti politik yang mencari kelebihan jangka pendek tidak akan teragak-agak untuk memanfaatkan ketakutan dan kekecewaan rakyat, menawarkan huraian yang terlalu mudah untuk mendapatkan kelebihan politik dan lebih banyak sokongan.



"Saranan itu sering diketengahkan dengan bijak agar ia kelihatan menarik, tetapi huraiannya tidak menyelesaikan sebarang masalah. Sesungguhnya mereka hanya memburukkan keadaan, dan akhirnya orang ramai yang menderita," ujar beliau.



Beliau menggesa aktivis PAP agar meningkatkan usaha untuk menangani kebimbangan penduduk, berhubung dengan mereka dan menyatukan sokongan mereka.



"Kita mesti mempunyai keberanian untuk membetulkan salah tanggapan yang tidak benar, dan memberitahu orang ramai apa yang parti ini dan pemerintah ini telah lakukan, dan apa yang kita akan terus lakukan selagi kita mempunyai mandat mereka," kata Encik Wong.



Beliau menambah bahawa semasa lawatan beliau ke cawangan-cawangan parti, dua soalan yang paling popular yang diajukan kepada beliau ialah bilakah pilihan raya akan datang dan bilakah beliau akan mengambil alih jawatan Perdana Menteri.



"Jadi, persoalan yang lebih tepat ialah bukannya bila peralihan pucuk pimpinan atau pilihan raya akan diadakan, sebaliknya bagaimana kita dapat mempersiapkan diri untuk menghadapi pertarungan lebih sengit; bagaimana kita boleh meraih keyakinan dan kepercayaan rakyat Singapura dan bagaimana kita boleh memperoleh mandat yang jelas," ujar beliau.




SOALAN BILA DPM WONG JADI PM TAK RELEVAN KETIKA INI



"Jadi, persoalan yang lebih tepat ialah bukannya bila peralihan pucuk pimpinan atau pilihan raya akan diadakan, sebaliknya bagaimana kita dapat mempersiapkan diri untuk menghadapi pertarungan lebih sengit; bagaimana kita boleh meraih keyakinan dan kepercayaan rakyat Singapura dan bagaimana kita boleh memperoleh mandat yang jelas."
- Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >