Papa rok Ramli Sarip bakal serikan festival membaca NLB

FESTIVAL membaca Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) tahun ini bakal menonjolkan seramai 88 penulis tempatan, dengan matlamat untuk menekankan pentingnya membaca dalam bahasa ibunda.

Read! Fest 2017 yang akan berlangsung selama dua bulan sehingga 29 Julai dilancarkan di Perpustakaan Negara semalam.

Pelancaran itu dimeriahkan lagi dengan kehadiran Menteri Perhubungan dan Penerangan Dr Yaacob Ibrahim.

Sebanyak 150 program akan diadakan selama dua bulan ini di semua perpustakaan NLB, di mana 37 peratus daripadanya akan dikendalikan dalam bahasa ibunda - Melayu, Mandarin atau Tamil.

Ini merupakan kenaikan 50 peratus jika dibandingkan dengan tahun lalu.

Seorang jurucakap NLB, Cik Nur Fitri Muhd Syafran, yang juga merupakan seorang pustakawan bersekutu di NLB, berkata festival tahun ini mempunyai dua tumpuan - menggalak lebih ramai orang membaca dalam bahasa ibunda dan meningkatkan jumlah golongan dewasa membaca.

"Program yang kami adakan tahun ini berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya kerana bukan semua melibatkan aktiviti membaca.

"Kami juga mengadakan sesi temu bual, sesi perkongsian serta program khas untuk remaja, topik yang diketengahkan juga bertujuan untuk menarik minat masyarakat dan membuatkan mereka berasa lebih teruja," katanya.

Antara program yang akan dikendalikan dalam bahasa Melayu adalah sesi temu bual bersama lagenda 'Rock' Datuk Ramli Sarip yang akan berkongsi mengenai pengalaman beliau selama berada dalam dunia muzik serantau.