Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Papa Rok warnai Pesta Budaya Melayu

Feb 04, 2022 | 06:38 AM



DALAM gelombang muzik hari ini di mana terdapat banyak pengaruh muzik dari Barat dan terkini dari Korea, tokoh muzik dan legenda Datuk Ramli Sarip memilih untuk menentang arus dan terus memperjuangkan selain melestarikan bahasa dan budaya Melayu.



Usianya yang meski sudah mencecah 70 tahun, sedikit pun tidak menghambat Papa Rok Singapura itu daripada terus berkarya dan membuat persembahan, selain menyelitkan unsur irama muzik Melayu dalam lagu-lagunya.



Malah lirik lagu yang berbentuk puitis juga secara tidak langsung memartabatkan bahasa Melayu.



Esok, para peminat Datuk Ramli akan dapat berhibur sambil mendengar alunan muzik tradisional Melayu dan karya lagu popular beliau di auditorium Taman Warisan Melayu (TWM).



Persembahan "Sentosa di Kubah Hayat" itu yang juga merupakan judul lagu daripada album terbaru Datuk Ramli, Rasa, merupakan sebahagian daripada acara bagi Pesta Budaya Melayu.



Sambutan tahunan budaya dan tradisi Melayu anjuran Taman Warisan Melayu itu akan berlangsung selama tiga hujung minggu sehingga 13 Februari ini.



Pelbagai persembahan, bengkel dan forum akan diadakan secara fizikl di Taman Warisan Melayu (TWM) dan juga dalam talian.



Pengurus Besar TWM, Cik Asmah Alias, berkata selama ini TWM telah berusaha untuk menggalak refleksi dan perbincangan tentang apa itu identiti dan budaya Melayu Singapura menerusi pelbagai pameran dan program.



"Saya berharap agar acara ini akan dapat mengiktiraf pelbagai masyakarat yang telah bekerjasama rapat dengan TWM selama ini, serta amat diharapkan juga lebih banyak kerjasama dapat dijalinkan di masa hadapan," ujarnya.



Pesta Budaya Melayu itu telah dilancarkan Menteri Pembangunan Negara merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Integrasi Khidmat Sosial, Encik Desmond Lee, pada Jumaat lalu.



Setiausaha Parlimen (Kesihatan merangkap Perhubungan dan Penerangan), Cik Rahayu Mahzam, turut hadir dalam pelancaran di TWM itu.



Pesta tahun ini meraikan evolusi budaya Melayu di Singapura serta hubung kait rapatnya dengan Nusantara menerusi beberapa tema khusus yang menyentuh tentang kekayaan, kepelbagaian dan pengaruh rentas budaya.



Selain persembahan Datuk Ramli Sarip yang akan mendendangkan lagunya yang banyak mempunyai inspirasi daripada budaya Melayu, terdapat juga beberapa persembahan budaya lain termasuk bengkel dan persembahan bangsawan serta pertunjukan tarian



Menyentuh tentang penggunaan bahasa Melayu yang indah selain menyelitkan irama muzik tradisional Melayu dalam lagu-lagunya, Datuk Ramli berkata ia merupakan legasi masyarakat dan perlu untuk terus diangkat, dijulang dan dibudayakan agar ia menjadi popular dan diminati dari zaman ke zaman.



"Kalau kita mempunyai akar yang kuat, bahasa dan budaya itu tidak akan tergugat.



"Apa jua pengaruh yang ada di luar sana itu, seperti fesyen, ia datang dan pergi," katanya.



Menurutnya, muzik tradisional Melayu yang antaranya mempunyai irama joget, inang dan ronggeng perlu terus dilestarikan untuk mengekalkan budaya Melayu itu sendiri.



Mengaitkannya kepada makanan, Datuk Ramli berkata seseorang yang berbangsa Melayu, meski negara mana yang mereka merantau, pastinya dahagakan makanan Melayu sendiri.



"Kalau dia pergi London misalnya, balik Singapura mesti nak cari masakan Melayu juga, seperti lontong, nasi lemak, teh tarik.



"Dia tak nak cari steak," ujarnya.



Tambahan lagi, menerusi penggunaan lirik Melayu yang baik, lagu itu juga mempunyai peranan untuk mempromosikan bahasa ibunda itu.



"Apabila kita ke luar negara, orang luar pasti akan tanya kita, apakah budaya kita, apakah bahasa yang kita gunakan, apakah pakaian yang kita gayakan, apa juga lagu rakyat kita, apa iramanya itu semua sebahagian daripada budaya kita.



"Kalau difikirkan kita sebenarnya sudah lama bertamadun," tambahnya lagi.



Sebanyak 13 lagu akan didendangkan antaranya termasuk Adam dan Hawa dan Qasidah Kampungan.



Persembahan itu akan berlangsung selama lebih satu jam setengah dengan diiringi pemuzik mapan tanah air.



Mereka yang berminat untuk menonton persembahan Datuk Ramli masih boleh membuat tempahan tiket di https://mcf2022-sentosadikubahhayat.peatix.com/.



Setiap tiket berharga $50.




"Saya berharap agar acara ini akan dapat mengiktiraf pelbagai masyakarat yang telah bekerjasama rapat dengan TWM selama ini, serta amat diharapkan juga lebih banyak kerjasama dapat dijalinkan di masa hadapan."
- Pengurus Besar Taman Warisan Melayu (TWM), Cik Asmah Alias.



RAMLI SARIP TENTANG BAHASA DAN BUDAYA MELAYU

"Kalau kita mempunyai akar yang kuat, bahasa dan budaya itu tidak akan tergugat.

Apa jua pengaruh yang ada di luar sana itu, seperti fesyen, ia datang dan pergi.

...Bila kita ke luar negara, orang luar pasti akan tanya kita, apa budaya kita, apa bahasa yang kita gunakan, apa pakaian yang kita gayakan, apa juga lagu rakyat kita, apa iramanya itu semua sebahagian daripada budaya kita.

- Kalau difikirkan kita sebenarnya sudah lama bertamadun."




ANTARA YANG MENARIK DALAM PESTA BUDAYA MELAYU 2022



28 JANUARI HINGGA 13 FEBRUARI 2022



Apa: 'Sentosa di Kubah Hayat', menampilkan Datuk Ramli Sarip. Nikmati lagu hit terbaik dan terkini daripada Papa Rok Singapura dalam persembahan ini
Bila: 5 Februari 2022
Masa: 8 malam
Tempat: Auditorium TWM
Tiket: $50
Tempahan: https://mcf2022-sentosadikubahhayat.peatix.com/



Apa: Bengkel Bangsawan

Peserta boleh berlatih kebolehan mereka berlakon dan mempelajari pelbaai karakter yang boleh didapati dalam bangsawan Melayu tradisional.
Bila: 13 Februari 2022
Masa: 3 petang
Tempat: Auditorium TWM
Tiket: $5. Wang pendahuluan akan dikembalikan
Daftar di: https://mcf2022-bangsawanworkshop.peatix.com/



ACARA DALAM TALIAN



Apa: Lintas Nusantara x Silat: Balada Nusantara

Siri ke-10 Lintas Nusantara merupakan surat cinta kepada seni mempertahankan diri, silat.

Anda boleh meneroka pengaruh silat menerusi tarian di rantau ini menerusi persembahan penuh menakjubkan.

1) Persembahan 'Dauliti, Singapura' yang akan dipersembahkan oleh The Kaizen dan Seri Setia Pulau Singa

2) Silat dan Masyarakat Boyan: Menampilkan Persatuan Boyan Singapura dan Sanggar Seni Dharma Pasuruan
Bila: 4 Februari 2022
Tempat: Facebook Live TWM (https://www.facebook.com/malayheritage)
Tiket: Percuma




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >