Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

REAKSI PADA KENYATAAN SHANMUGAM

Papar kesederhanaan, inklusif semakin penting dalam keadaan sekarang

Jun 07, 2017 | 05:30 AM



MASYARAKAT Islam berperanan terus memupuk dan menunjukkan nilai kesederhanaan dan inklusif demi memaparkan ajaran sebenar Islam.



Ini lebih penting sekarang disebabkan beberapa serangan pengganasan di banyak tempat di dunia, yang turut mengakibatkan sentimen anti-Muslim di sini.



Demikian pandangan beberapa pemimpin agama dan masyarakat, yang sedar akan sentimen anti-Muslim itu, semasa dihubungi.



Ahad lalu, Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, berkata sentimen anti- Muslim kian meningkat di sini.



Beliau memberi contoh contengan grafiti dengan kekata 'pengganas' pada sebuah ilustrasi gambar wanita berhijab di tapak binaan stesen MRT Marine Parade.



Pengasas inisiatif Roses of Peace (Mawar Keamanan), Encik Irshad Abbas, berkata tidak mustahil jika terdapat kes lain berhubung sentimen anti-Muslim yang tidak dilaporkan.



Dengan keadaan itu sekarang, beliau ingin melihat masyarakat Islam menerajui lebih banyak inisiatif yang melibatkan penganut agama lain, dan menjadikan masyarakat itu inklusif seberapa boleh.



Ini meliputi bukan sahaja dialog antara agama bahkan projek amal yang melibatkan dan menyatukan orang ramai daripada pelbagai latar belakang.



Inisiatif Roses of Peace melibatkan sukarelawan daripada berbilang kaum dan agama bagi menyebarkan mesej keamanan, kasih sayang dan kebaikan menerusi pengagihan bunga mawar di tempat awam.



Penolong Profesor Program Pengajian Perhubungan Antara Agama dalam Masyarakat Majmuk (SRP) di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Ustaz Dr Mohamed Ali, menekankan pentingnya jaringan bersama masyarakat lain.



"Masyarakat Islam harus melibatkan diri dengan masyarakat lain, dan meningkatkan lagi integrasi.



"Menerusi jaringan itulah kita boleh menerangkan bahawa Islam agama sederhana yang menghargai keamanan dan keharmonian, bukan dengan sikap mempertahankan diri atau defensif sahaja," ujarnya.



Zamil Penyelidik Madya RSIS, Ustaz Mustazah Bahari, pula menggesa masyarakat supaya kembali ke asas ajaran Islam dan memaparkan nilai Islam sebenar kepada orang lain, termasuk memupuk hubungan baik bersama sekian manusia tidak kira kaum dan agama.



"Sederhana dalam Islam bermakna mengamalkan yang terbaik dalam sekitaran kita.



"Apa-apa pandangan yang menyokong keganasan terhadap orang lain, atau idea bahawa Muslim lebih tinggi darjatnya daripada orang lain, tidak harus dibiarkan," ujarnya.



Beliau menambah bahawa Muslim juga harus mengelakkan kelakuan yang tidak memaparkan semangat Islam sebenar, seperti meletak kereta secara sembarangan semasa solat Jumaat atau tarawih atau membuat bising secara keterlaluan dalam majlis perkahwinan di kolong blok.



Sikap mementingkan diri ini, dengan alasan hendak menjalankan hak sebagai Muslim, harus dijauhkan, kata Ustaz Mustazah lagi.



Menjawab soalan Berita Harian berkenaan perkara ini, Persatuan Ulama dan Guru-guru Agama Islam Singapura (Pergas) Muslim Singapura 'memastikan supaya kita tidak terlibat dalam sebarang tindakan pengganasan kerana... Islam adalah agama yang aman dan sejahtera'.



"Kita harus buktikan keamaan dan kesejahteraan ini melalui amalan-amalan yang diajarkan oleh Islam. Antaranya adalah melalui sikap toleransi dan kemaafan, dan pastinya bukan dengan cara keganasan. Bahkan keganasan merupakan sesuatu yang patut ditentang tidak kira siapa sahaja yang melakukanya, tidak kira agama apa yang mereka ikuti," kata jurucakap Pergas. Pergas juga menghantar asatizahnya untuk berkhidmat dengan Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG), dalam usaha membanteras dan memulihkan individu yang menjadi radikal.



Presiden Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), Cik Rahayu Mohamad, pula prihatin tentang kebangkitan sentimen anti-Muslim agresif di media sosial.



Apa yang diperlukan ialah perbahasan lebih rasional, katanya.



"Bagi saya, kita tidak perlu meluangkan terlalu banyak masa kepada sentimen anti-Muslim, tetapi kepada perkara pokok yang menyebabkannya, iaitu perwakilan kurang tepat dan kurang pengetahuan tentang Islam dan Muslim.



"Jika kita boleh melunturkan kededua perkara ini, sentimen itu tidak akan meningkat semasa krisis," ujarnya.



Namun, Cik Rahayu juga melihat tanda positif dengan adanya orang bukan Islam yang cuba mendekati dan menyokong orang Islam, serta membantu menjelaskan salah tanggapan serta persepsi negatif.



Di samping itu, pemimpin agama dan masyarakat Muslim sendiri harus terus tampil mengecam serangan pengganas bagi menekankan bahawa pengganas tidak mewakili Islam, kata ketua belia dan penolong setiausaha Kumpulan Keyakinan Antara Kaum (IRCC) Bukit Batok, Encik Ahmad Tashrif Sarman.



"Kita boleh memainkan peranan bersama untuk memupuk jalinan persahabatan, kepercayaan dan persefahaman antara kaum dalam keadaan aman.



"Kita perlu memperkukuh dan menunjukkan identiti budaya unik kita.



"Daripada makanan lazat kepada seni, sukan atau khidmat kepada masyarakat, ini boleh menonjolkan imej lebih baik bagi masyarakat kita dan mengatasi perkara negatif," ujarnya.



Seorang aktivis antara agama, Ustaz Ashraf Anwar, berkata tanggungjawab untuk menentang ketaasuban dan prasangka terletak pada semua anggota dalam masyarakat.



"Dengan memperkasa suara progresif dan memupuk pemahaman lebih mendalam, menjangkau sikap ramah mesra, barulah kita boleh membangun masyarakat inklusif dan berdaya tahan," ujar Ustaz Ashraf.



* Artikel ini telah disemak bagi menambah isinya. 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >