Parlimen: Kos yang ditanggung pemerintah bagi HSR lebih $250 juta sehingga Mei

MENTERI Pengangkutan, Encik Khaw Boon Wan, berkata pemerintah telah menanggung kos lebih $250 juta bagi projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura.

Berkata demikian di Parlimen hari ini (9 Julai), beliau berkata Singapura telah pun membentuk sebuah pasukan yang merangkumi lebih 100 pakar dalam syarikat prasarana SG HSR untuk membina, memiliki, membiayai dan menyenggara prasarana awam HSR di Singapura.

“Mereka telah bekerja keras untuk memenuhi kewajipan kami bagi memenuhi garis masa pelaksanaan yang mencabar,” ujarnya.

Encik Khaw berkata Singapura telah menanggung kos lebih $6 juta bagi projek itu pada bulan Jun.

Singapura juga menjangkakan untuk menanggung lebih $6 juta pada bulan Julai sambil menambah kos ini akan meningkat dengan cepat semakin lama.

Dari Ogos hingga lewat Disember tahun ini pula, Singapura perlu membelanjakan sekurang-kurangnya $40 juta lagi bagi kos tenaga manusia, perbelanjaan operasi, kos kontrak dan sebagainya, kata Encik Khaw.

“Adalah amat dikesali jika Malaysia telah memutuskan untuk membatalkan projek ini tetapi melengahkan untuk memberitahu kami kerana lebih banyak perbelanjaan yang membazir akan berlaku,” katanya.