Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

PARLIMEN

Lebih 155,000 sudah terima suntikan vaksin pertama

* Tiada bukti vaksin Pfizer-BioNTech meningkatkan risiko kematian dalam warga emas * Empat individu yang alami alahan setelah divaksin telah pulih
Feb 02, 2021 | 05:30 AM



LEBIH 155,000 individu telah menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 mereka hingga kelmarin, dan lebih ramai dijangkakan menerima vaksin itu sedang lebih banyak pusat vaksinasi ditubuhkan di kawasan yang padat dengan penduduk dalam beberapa minggu mendatang.



Memberi maklumat terkini tentang program vaksinasi Singapura di Parlimen semalam, Menteri Negara Kanan (Kesihatan merangkap Perhubungan dan Penerangan), Dr Janil Puthucheary, berkata pemerintah merancang menubuhkan sekitar 40 pusat vaksinasi, dengan setiap pusat dirancang boleh melakukan anggaran sekitar 2,000 vaksinasi sehari secara purata.



"Kami telah membuat kemajuan baik dalam program vaksinasi kami… Lebih banyak pusat vaksinasi akan ditubuhkan dalam beberapa minggu mendatang demi memastikan setiap orang boleh mendapatkan vaksinasi mereka dengan mudah," kata beliau.



Mulai semalam, kesemua 20 poliklinik serata negara juga telah mula menawarkan vaksin Covid-19. Sekitar 20 Klinik Kesediaan Kesihatan Awam (PHPC) kini juga menawarkan vaksinasi.



Dr Janil menambah bahawa pemerintah juga telah membentukkan pasukan vaksinasi bergerak untuk mendekati warga emas yang menghadapi kesukaran bergerak.



Vaksin Covid-19 kini sudah mula ditawarkan kepada golongan warga emas, dengan kesemuanya akan menerima surat yang mengundang mereka untuk membuat janji temu bagi vaksinasi sama ada dalam talian, atau dengan mengunjungi kelab masyarakat terpilih berdekatan mereka.



Dr Janil turut menyentuh tentang keprihatinan terhadap kesan sampingan dan risiko kematian berkenaan vaksin itu setelah Norway melaporkan sebilangan kecil warga emasnya maut selepas menerima vaksin tersebut.



Namun, beliau berkata pihak berkuasa kesihatan Norway dan Jawatankuasa Penasihat Sejagat mengenai Keselamatan Vaksin Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) baru-baru ini melaporkan mereka tidak menemui sebarang bukti bahawa vaksin Pfizer-BioNTech itu meningkatkan risiko kematian dalam warga emas.



Oleh itu, pemerintah terus menawarkan vaksin Covid-19 kepada golongan itu, dan adalah penting untuk melindungi warga emas kerana jangkitan virus itu diperhatikan mengakibatkan penyakit lebih teruk atau membawa maut bagi mereka, kata beliau.



Dalam pada itu, Dr Janil berkata terdapat empat kes yang mengalami reaksi alahan teruk, atau anaphylaxis, sejauh ini selepas menerima vaksin itu.



Individu tersebut, yang dalam lingkungan usia 20-an dan 30-an tahun, mengalami tanda-tanda seperti ruam, sesak nafas, bibir bengkak, sesak tekak dan pening.



Tiga daripada mereka mempunyai sejarah alahan, termasuk rinitis alahan dan alahan makanan seperti alahan kerang, namun tidak ada yang mempunyai sejarah anaphylaxis, yang akan menghalang mereka daripada menerima vaksin itu.



Kesemuanya telah pulih dan tidak ada yang memerlukan sokongan unit jagaan rapi (ICU).



"Anaphylaxis boleh dikawal apabila dikesan dan dirawat tepat pada masanya. Oleh sebab kesemua individu yang menerima vaksin di Singapura dipantau secara dekat, tanda-tanda dalam empat individu ini dapat dikesan dan dirawat dengan segera," kata Dr Janil.



Beliau menambah bahawa kadar kejadian anaphylaxis setempat adalah sekitar 2.6 bagi setiap 100,000 dos yang diberikan. Di luar negara, kadar kejadian yang dilaporkan adalah sekitar 1 hingga 2 bagi setiap 100,000 dos yang diberikan selepas mereka memberikan jutaan dos vaksin.



Berkenaan bekalan vaksin pula, Dr Janil berkata negara ini boleh menjangkakan tangguhan dalam penghantaran bekalan vaksin Pfizer-BioNTech kerana syarikat Pfizer kini sedang mempertingkat kilang pembuatannya.



Singapura bagaimanapun akan terus memantau bekalannya secara dekat demi memenuhi sasaran memberikan vaksin kepada semua warga dan penduduk jangka panjang menjelang hujung tahun ini.



Dek bekalan vaksin yang terhad pada masa ini, keutamaan diberikan kepada pekerja penjagaan kesihatan dan barisan depan serta warga emas.



Dr Janil berkata beliau memahami keprihatinan sesetengah rakyat Singapura yang mahu mendapatkan vaksin itu awal, terutamanya mereka yang mahu ke luar negara atas sebab peribadi.



Beliau berkata pemerintah akan mempertimbangkan untuk membolehkan individu ini menerima vaksin awal apabila terdapat kepastian lebih besar dalam bekalan vaksin.



"Kami akan mengumumkan butiran lanjut pada masa itu. Butiran lanjut mengenai pelancaran vaksinasi kepada rakyat Singapura dan penduduk jangka panjang yang lain akan diumumkan kelak," kata beliau.



Menjawab soalan Encik Sharael Taha (GRC Pasir Ris-Punggol) tentang sama ada pemerintah boleh menyediakan bantuan kepada pelajar luar negara yang berharap dapat kembali ke tanah air atau mereka yang akan melanjutkan pengajian di luar negara, Dr Janil berkata sekiranya mereka merancang kembali ke Singapura untuk mendapatkan vaksin, mereka harus mempertimbangkan jangka masa keseluruhan yang diperlukan untuk vaksin itu.



"Bagi vaksin Pfizer-BioNTech, anda memerlukan sekitar 21 hingga 25 hari antara dua dos itu, dan imuniti diraih sekitar dua minggu selepas dos kedua diberikan.



"Oleh itu, rakyat Singapura di luar negara yang merancang kembali ke Singapura untuk mendapatkan vaksin akan perlu merancang bagi tempoh masa itu jika mereka mahu mendapatkan imuniti sebelum kembali ke tempat tinggal mereka," kata beliau.




"Kami telah membuat kemajuan baik dalam program vaksinasi kami… Lebih banyak pusat vaksinasi akan ditubuhkan dalam beberapa minggu mendatang demi memastikan setiap orang boleh mendapatkan vaksinasi mereka dengan mudah."

- Menteri Negara Kanan (Kesihatan merangkap Perhubungan dan Penerangan), Dr Janil Puthucheary




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >