Parlimen: Menteri Pengangkutan Khaw Boon Wan letak sasaran lebih tinggi bagi perjalanan kereta api tanpa gangguan besar

PERJALANAN kereta api purata 300,000 km tanpa gangguan besar.

Demikian sasaran baru yang ditetapkan Menteri Pengangkutan Khaw Boon Wan bagi kebolehpercayaan MRT tahun ini.

Ini merupakan peningkatan 72 peratus berbanding pencapaian tahun lepas - purata perjalanan 174,000 km tanpa menghadapi kelewatan melebihi lima minit.

Encik Khaw berkata pada Rabu (8 Mac) di Parlimen bahawa kebolehpercayaan MRT Singapura belum mencapai sasaran yang dimahukan "tetapi kita akan sampai ke sana".

"Dan tahun depan, kami akan sasarkan 400,000 km. Ia boleh dilakukan," katanya.

Ukuran kilometer sebelum kegagalan (MKBF) adalah petunjuk utama kebolehpercayaan sistem rel dan digunakan banyak bandar. Keretapi Taipei misalnya mencapai perjalanan 800,000 km tanpa rosak pada 2015.

Semasa berucap, Encik Khaw berkata kementeriannya akan mengundang tender tidak lama lagi bagi membaik pulih sistem bekalan kuasa Utara-Selatan dan Timur-Barat Lines (NSEWL). Sistem kuasa itu umumnya telah digunakan sejak 1987 apabila kedua-dua laluan dibuka.

Tender juga akan dipanggil untuk menggantikan 66 kereta api generasi pertama NSEWL yang berusia 30 tahun.

Instrumen pemantauan keadaan akan dipasang pada sistem kuasa baru dan kereta api NSEWL, menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA).

Encik Khaw juga memberi maklumat tentang kerja menaik taraf kereta api yang berterusan. Beliau berkata sistem bekalan kuasa rel ketiga kereta api akan siap tahun ini.

Sistem isyarat Laluan Utara-Selatan yang dinaik taraf akan siap tidak lama lagi, kata Encik Khaw.

Namun beliau memberi amaran masalah awal sistem isyarat baru itu.