PEMANDU kereta sewa privet yang beroperasi di bawah aplikasi seperti Uber dan Grab akan dikawal selia di Singapura, bagi melindungi kepentingan penumpang.
Seperti pemandu teksi, mereka akan tertakluk pada ujian perubatan dan pemeriksaan latar belakang, perlu menghadiri kursus lesen vokasional, dan diletak di bawah sistem mata demerit.
Kereta sewa privet yang digunakan untuk membuat tempahan di bawah Uber dan Grab juga perlu didaftar dengan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), dan kenderaan itu harus mempamer pelekat jelas supaya penumpang dan pihak berkuasa boleh dengan mudah mengenal pasti mereka.
Mengumumkan langkah-langkah itu di Parlimen pada Selasa (12 April), Menteri Negara Kanan (Pengangkutan), Encik Ng Chee Meng, berkata: "Dengan pertumbuhan aplikasi seperti Uber dan GrabCar, beberapa peraturan asas diperlukan untuk memastikan kepentingan penumpang, khususnya keselamatan, dijaga."
Peraturan baru itu dijangka bermula menjelang separuh pertama tahun depan. Pemandu boleh membuat permohonan mulai Jun.
Ini akan memberi pemandu Uber GrabCar sedia ada masa untuk mengambil dan lulus kursus Lesen Vokasional Pemandu Sewa Privet (PDVL), sebuah program lebih pendek, 10 jam berbanding yang dilalui pemandu teksi.
Sistem lesen vokasional pemandu teksi (TVDL) sekarang juga akan diubah, termasuk mengurangkan masa kursus lebih daripada separuh, daripada 60 jam kepada 25 jam. Sebahagian daripada kursus itu akan dijalankan melalui e-pembelajaran.
Pemandu teksi aktif tanpa sebarang mata demerit juga akan dikecualikan daripada kursus ulang kaji, manakala program tiga dan lima jam khusus untuk pemandu teksi yang memerlukan lebih banyak latihan akan disediakan.
Pada masa ini, kursus itu selama enam atau sembilan jam lama, dan perlu dihadiri setiap enam tahun. Program TDVL baru akan berkuat kuasa mulai bulan depan (Mei).
Pemandu teksi sedia ada yang ingin menjadi pemegang PDVL juga boleh berbuat demikian dengan menghadiri kursus dua jam, tanpa dikenakan bayaran permohonan $40.