SEBUAH panel tatatertib telah dibentuk Parti Pekerja (WP) bagi meneliti kelakuan Anggota Parlimen (AP) Cik Raeesah Khan, selepas beliau mengaku berbohong di Parlimen mengenai butiran satu kes serangan seksual.
Seorang jurucakap parti itu pada Selasa (2 November) berkata panel itu akan meneliti pengakuan yang dibuat oleh Cik Raeesah di Parlimen semalam,menyusuli ucapan awal yang dibuat oleh AP itu pada 3 Ogos lalu di mana beliau mendakwa polis telah salah mengendalikan kes tersebut.
“Panel itu terdiri daripada Setiausaha Agung Pritam Singh, Pengerusi Sylvia Lim dan Naib Pengerusi Faisal Manap.
“Panel itu akan melaporkan penemuan dan saranannya kepada Jawatankuasa Eksekutif Pusat selepas ia menyelesaikan kerjanya,” kata jurucakap itu.
Beliau menambah kerja Panel Tatatertib parti itu berasingan daripada sebarang keputusan yang mungkin dibuat oleh Jawatankuasa Hak Istimewa Parlimen.
Semalam, Cik Raeesah mengaku beliau tidak menemani mangsa rogol itu ke balai polis, seperti yang diceritakannya dalam ucapannya pada 3 Ogos lalu di Parlimen.
Beliau meminta maaf di Parlimen kepada Pasukan Polis Singapura dan menarik balik anekdot yang beliau kongsi tentang kejadian yang didakwa itu.