Pasangan Chile dipenjara setelah gagal curi daripada seorang lelaki

DUA warga Chile yang ke Singapura dengan tujuan mencuri, telah menggunakan sos kicap untuk “mengotorkan baju mangsa dengan tidak sengaja”. 

Salah seorang daripada mereka, Maria Margarita Alvarado Vicuna, 27 tahun, akan berpura-pura menolong mangsa dengan memberi tisu kepadanya untuk membersihkan diri, lapor The Straits Times (ST).

Sementara itu, teman lelaki Vicuna, Rodrigo Andres De La Fuente Caamano, 28 tahun, akan menyelinap dan mencuri barang mangsa.

Pada 27 September lalu, sasaran pasangan itu merupakan seorang pengurup, Encik Hasan Mohamed M. Abdul Kader, yang membawa beg mengandungi $51,000 pada masa itu.

Namun, mereka gagal dalam percubaan itu sebab Encik Hasan yang bekerja di The Arcade,  tidak hiraukan bajunya yang kotor. 

Pasangan itu dijatuhkan hukuman awal hari ini (15 Oktober) -  penjara selama empat bulan atas percubaan mencuri daripada seorang warga Singapura berusia 58 tahun.

Pasangan itu, yang tiba di Singapura dengan pas lawatan sosial pada 26 September, telah ke sebuah pusat penjaja pada keesokan hari untuk mendapatkan dua plastik sos soya.