Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

KELONGGARAN LARANGAN MAKAN DI LUAR

Pasangan dapat makan di luar, sokong peniaga F&B

Pegerai di pusat penjaja Bedok optimistik biar kadar jualan hari pertama agak perlahan
Jun 22, 2021 | 05:30 AM



CIK Norsimah Ngaji dari Sembawang dengan segera menghubungi kakaknya yang tinggal di Chai Chee untuk bersarapan pagi dengannya di pusat penjaja Pusat Pertukaran Bedok semalam selepas diberitahu larangan makan di luar akan dilonggarkan pada 21 Jun, minggu lalu.



Ketika ditemui Berita Harian (BH), ibu seorang anak berusia 53 tahun itu yang berada di Bedok untuk menziarahi abangnya di Pusat Penjagaan NTUC, berkata kelonggaran larangan tersebut amat melegakannya dan kakaknya, Cik Norimah Ngaji, 56 tahun.



Menurut Cik Norsimah, mereka rasa bahagia dapat bertemu, berbincang sambil menjamu selera kerana sudah lebih sebulan mereka tidak dapat melakukan demikian akibat sekatan dipertingkat yang dikuatkuasakan pemerintah sejak 16 Mei lalu.



"Walaupun kita tak boleh keluar secara beramai-ramai, sekurang-kurangnya kita dapat keluar dan bertemu untuk makan," kata Cik Norsimah.



"Ini merupakan kegiatan yang menyenangkan kami dan saya yakin ramai penduduk memang gemar keluar untuk makan bersama orang tersayang," tambah suri rumah itu yang sudah menerima suntikan vaksin Covid-19 April lalu.



Cik Norimah pula, yang belum disuntik vaksin kerana masih menanti nasihat doktor berkaitan penyakit kencing manisnya, berkata biarpun peraturan sekarang hanya membolehkan dua orang makan bersama sahaja, langkah itu sebaiknya lebih selamat bagi penduduk.



Ini memandangkan terdapat beberapa kelompok jangkitan yang muncul di premis tempat makan seperti Pasar dan Pusat Penjaja Bukit Merah View yang kini membabitkan lebih 70 kes baru-baru ini.



"Tapi kami tak risau sangatlah selagi orang ramai patuh kepada peraturan dan langkah jarak selamat dan menjaga kebersihan diri sendiri," kata ibu empat anak itu.



Tinjauan BH dari 9.30 pagi hingga 12 tengah hari menunjukkan beberapa pasangan suami isteri, adik beradik atau teman sedang menikmati sarapan mereka.



Ada pula kelihatan sedang makan berseorangan sambil bertanya khabar kepada penjaja di situ.



Tiada perhimpunan beramai-ramai atau garisan orang beratur yang panjang berlaku di situ dengan pelanggan terus mematuhi langkah berwaspada.



Ini termasuk beratur sambil mengasingkan diri sejauh satu meter dari pelanggan lain, dan hanya duduk di kerusi dan meja yang dibenarkan.



Di bawah langkah Fasa Tiga (Kewaspadaan Dipertingkat) orang ramai dibolehkan makan di luar semula mulai semalam namun dihadkan kepada dua orang di setiap meja sahaja.



Ahli keluarga dan isi rumah daripada rumah yang sama juga diperlukan mematuhi langkah itu dengan mengasingkan setiap ahli keluarga kepada dua orang setiap meja.



Misalnya, keluarga yang mempunyai lima ahli harus duduk secara berasingan dengan dua meja akan diduduki dua ahli setiap meja dan baki seorang ahli perlu duduk berseorangan.



Seorang lagi pelanggan, Encik Rizal Razaly, 37 tahun, yang sedang bersarapan di situ bersama isterinya pula berkata:



"Pada peringkat ini, saya masih merasakan bahawa kelonggaran ini bukan satu perubahan ketara," kata teknisyen pesawat itu.



"Namun, kami tetap prihatin terhadap risiko jangkitan dan masih bersikap 50-50 terhadap langkah baru ini," kata Cik Norhidayah Tokuman, isteri Encik Rizal yang mempunyai tiga anak.



Selain mereka, Encik Haidi Salleh, seorang tukang masak pula berpendapat bahawa kelonggaran larangan makan dan minum di tempat makan itu penting bagi perniagaan setempat dan juga bagi mengurangkan keresahan penduduk yang mungkin menghadapi banyak tekanan di rumah.



"Ia penting bagi membolehkan orang ramai makan di luar, biarpun tak banyak, bagi mengurangkan stres daripada kerja dan urusan rumah.



"Sudah lebih sebulan kami tidak melakukan hal ini dan saya rasa kesannya terhadap perniagaan juga amat teruk.



"Jadi, ini peluang bagi kita menyokong peniaga setempat juga," kata bapa empat anak itu, yang dilihat sedang bersarapan dengan isterinya, Cik Kartini Masri, 58 tahun. Pasangan itu sudah menerima kedua-dua dos suntikan vaksin.



Pegerai yang ditemui pula melahirkan rasa optimistik biarpun kadar penjualan masih agak lembap.



Encik Abu Zarin Abdul Rahim, 44 tahun, pemilik gerai mi soto popular, Wak Din, yang juga menjual Mi Rebus dan Nasi Ayam menjangkakan perniagaannya meningkat purata 10 peratus hingga 30 peratus.



"Pagi ini (semalam) saya lihat, jualan amat baik tapi agak-agak masih lembap jugalah.



"Tapi kita pun tak terburu-buru nak dapatkan semua pelanggan kembali dan pembukaan semula secara perlahan ini lebih baiklah.



"Kalau dibuka sepenuhnya serta-merta memang bahaya sekali," tambah pelapis perniagaan itu yang sebelum ini dipimpin oleh ayahnya yang sudah berusia 84 tahun.



Jiran Encik Zarin di pusat penjaja itu, Cik K. Vasanthi, pemilik gerai minuman G.K. Murthy Hot & Cold Drinks berkata beliau lega dapat menerima pelanggan kembali kerana perniagaan minuman rata-rata terjejas teruk akibat larangan itu.



"Pagi tadi (semalam) dalam satu jam kami buka kedai, kami sudah terima lebih 50 order," katanya.



"Ini satu tanda baik sebab perniagaan kami menjunam lebih 80 peratus disebabkan larangan itu.



"Kami cuma berharap tiada kelompok jangkitan yang muncul di sinilah. Kalau itu berlaku, habislah kita nanti," kata Cik Vasanthi lagi.




"Ia penting bagi membolehkan orang ramai makan di luar, biarpun tak banyak, bagi mengurangkan stres daripada kerja dan urusan rumah.

Sudah lebih sebulan kami tidak melakukan hal ini dan saya rasa kesannya terhadap perniagaan juga amat teruk.

Jadi, ini peluang bagi kita menyokong peniaga setempat juga."

- Encik Haidi Salleh, pelanggan.



"Pagi ini (semalam) saya lihat, jualan amat baik tapi agak-agak masih lembap jugalah.

Tapi kita pun tak terburu-buru nak dapatkan semua pelanggan kembali dan pembukaan semula secara perlahan ini lebih baiklah. Kalau dibuka sepenuhnya serta-merta memang bahaya sekali."

- Encik Abu Zarin Abdul Rahim, pemilik gerai Wak Din.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >