Subuh
5:43
Syuruk
7:06
Zuhur
1:12
Asar
4:36
Maghrib
7:17
Isyak
8:31
Setempat

Pasangan Muslim boleh jalani nikah di 14 masjid

Namun undangan dihad 10 orang tidak termasuk kadi; perlu patuhi jarak selamat
Jun 04, 2020 | 05:30 AM

PASANGAN Muslim kini boleh menjalani akad nikah secara bersua muka di 14 masjid setempat selain di Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM) mulai 13 Jun ini.

Ia diumumkan Setiausaha Parlimen Kanan (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Pendidikan), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, dalam satu catatan di Facebook semalam sedang ROMM membolehkan semula acara akad nikah diadakan di situ mulai kelmarin.

Namun, beliau menjelaskan hanya 10 orang sahaja, tidak termasuk kadi atau naib kadi, yang dibenarkan hadir sewaktu acara akad nikah itu dan mereka harus turut mematuhi langkah jarak selamat bagi mengurangkan risiko penularan koronavirus.

"Para saksi boleh terdiri daripada mereka yang bukan anggota keluarga pasangan itu tetapi hadirin yang lain harus terdiri daripada anggota keluarga terdekat pasangan sahaja," tambah beliau.

"Mereka harus mematuhi langkah berjaga-jaga yang ditetapkan ROMM dan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).

"ROMM dan masjid-masjid akan memastikan majlis akad nikah dijalankan dengan selamat untuk mencegah penularan Covid-19.''

Dr Faishal menyatakan pernikahan merupakan peristiwa penting dalam kehidupan, dan beliau amat menghargai pengorbanan pasangan yang harus mengatur semula rancangan mereka demi melawan wabak koronavirus ini.

"Covid-19 telah membawa banyak cabaran kepada rakyat Singapura, termasuk masyarakat Melayu/Islam.

'Pasangan yang ingin bernikah terpaksa mengubah perancangan mereka.

"Dalam mengharungi Covid-19, masyarakat kita telah menunjukkan daya tahan dan mengamalkan norma-norma baru dalam kehidupan harian.''

Namun, harus diingat bahawa perjuangan menangani Covid-19 belum berakhir, kata beliau.

Oleh itu, Dr Faishal berkata pihak ROMM dan Muis telah bekerja rapat untuk memenuhi keperluan pasangan Muslim setempat.

Mulai bulan lalu, berdasarkan panduan Pejabat Mufti, pasangan Islam boleh menjalani akad nikah secara dalam talian, tambahnya.

Dr Faishal menggalakkan agar pasangan mempertimbangkan rancangan akad nikah yang diadakan secara dalam talian.

Ini kerana pilihan itu merupakan tindakan yang lebih selamat bagi semua, kata beliau.

Menurut Dr Faishal, lebih ramai anggota keluarga juga dapat 'menyaksikan' majlis tersebut dalam talian sementara slot pernikahan di ROMM dan masjid-masjid juga terhad.

"Anda boleh rujuk kepada ROMM atau naib kadi anda mengenai slot yang ada dan langkah pengurusan selamat yang ditetapkan."

Selain itu, Dr Faishal menulis bahawa ramai pasangan juga ingin sesi Bersamamu - iaitu sesi pertemuan bersama naib kadi - secara bersua muka diadakan semula kerana sesi tersebut amat bermanfaat bagi pasangan membuat persiapan bagi membina rumah tangga.

"Para naib kadi akan teruskan sesi Bersamamu dalam talian, dan kami akan mulakan sesi Bersamamu di masjid-masjid tertentu secara bertahap-tahap," kata beliau lagi.

Dr Faishal mengajak masyarakat supaya terus memainkan peranan untuk menjaga keselamatan kita semua.


"Covid-19 telah membawa banyak cabaran kepada rakyat Singapura, termasuk masyarakat Melayu/Islam.

'Pasangan yang ingin bernikah terpaksa mengubah perancangan mereka.

Dalam mengharungi COVID-19, masyarakat kita telah menunjukkan daya tahan dan mengamalkan norma-norma baru dalam kehidupan seharian.''
- Setiausaha Parlimen Kanan (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Pendidikan), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, dalam satu catatan di Facebook semalam.


Selain ROMM, pasangan boleh adakan akad nikah di 14 masjid mulai 13 Jun:

1. Masjid Al-Islah
2. Masjid Al-Istighfar
3. Masjid Alkaff Kampung Melayu
4. Masjid Darul Ghufran
5. Masjid An-Nahdhah
6. Masjid An-Nur
7. Masjid Assyafaah
8. Masjid Darul Makmur
9. Masjid Yusof Ishak
10. Masjid Al-Falah
11. Masjid Al-Iman
12. Masjid Al-Mukminin
3. Masjid Assyakirin
14. Masjid Darussalam
 

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian