Pasar Geylang jadi tumpuan jelang Ramadan, AP gesa lawat pasar dekat rumah bagi elak sesak, Berita Setempat - BeritaHarian.sg
Subuh
5:33
Syuruk
6:57
Zuhur
12:59
Asar
4:23
Maghrib
6:59
Isyak
8:14
Suatu Ketika di Singapura
Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Setempat3

Pasar Geylang jadi tumpuan jelang Ramadan, AP gesa lawat pasar dekat rumah bagi elak sesak

Pemerhatian BM: Jumlah pengunjung di pasar lain seperti Tekka lebih terkawal
Apr 19, 2020 | 05:30 AM

WALAU tidak sesesak hujung minggu lalu, masih ramai orang yang berkunjung ke Pasar Geylang Serai berdasarkan pemerhatian Berita Minggu (BM) semalam.

Seawal 7 pagi, barisan pengunjung sudah mula beratur untuk memasuki pasar tersebut dan pada 7.30 pagi jumlah mereka yang beratur mencecah ratusan orang.

Meskipun demikian, semua yang beratur memakai pelitup muka dan mengamalkan jarak selamat.

Ketika ditemui wartawan, ramai pengunjung berkata mereka lebih suka ke Pasar Geylang Serai dan sanggup menghabiskan masa beratur kerana harga barangan yang lebih murah.

Selain itu, mereka berkata sudah menjadi kebiasaan untuk ke pasar popular itu lebih-lebih lagi pada hujung minggu terakhir menjelang Ramadan.

Salah seorang daripada mereka, Cik Asmah Jai, 68 tahun, berkata beliau sampai ke pasar itu seawal 6.30 pagi untuk elak kesesakan.

"Semasa saya sampai, masih belum ramai orang dan tidak perlu beratur. Tapi lepas saya sudah habis belanja, dalam masa sejam begitu, sudah ada barisannya orang beratur.

"Saya ke Pasar Geylang memang untuk persiapan bulan puasa minggu hadapan," katanya.

Seorang lagi pengunjung, Encik Mursiddin Surati, 55 tahun, pula berkata beliau dan isterinya perlu beratur dan menunggu selama 15 minit sebelum dibenarkan masuk, walaupun sampai ke pasar sebelum 7 pagi.

"Nasib baik tidak perlu tunggu lama sangat. Semasa saya dan isteri saya sampai, kita beratur di bahagian depan dekat pintu masuk pasar. Tidak lama kemudian, orang dah beratur panjang dah," kongsi beliau.

Semasa BM di pasar semalam, para pegawai Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) yang bertugas memastikan pasar tidak terlalu sesak, sambil mengingatkan orang ramai yang beratur untuk sentiasa memakai pelitup dengan betul serta mengamalkan jarak selamat.

Dihubungi wartawan, Anggota Parlimen GRC Marine Parade di mana terletaknya Pasar Geylang Serai, Encik Tan Chuan-Jin, berkata beliau gembira ramai yang kini lebih prihatin dengan tindakan mereka dan mengamalkan langkah-langkah pencegahan yang diperlukan.

Beliau, yang juga Speaker Parlimen, menambah pengunjung ke pasar itu kini telah menyesuaikan diri dengan perintah baru seperti mengunakan pelitup dan menjaga jarak selamat.

"Tapi saya ingin galakkan masyarakat untuk mengunjungi pasar lain yang kurang sesak atau memilih untuk ke pasar pada waktu lain ketika ia tidak begitu sibuk sebagai usaha meningkatkan pengamalan jarak selamat," ujarnya.

Selain pasar Geylang Serai, pasar Tekka di Little India turut menjadi tumpuan meskipun jumlah pengunjung lebih terkawal.

Sekitar 9 pagi, seramai 800 orang dianggarkan telah mengunjungi pasar itu.

Encik Muhammad Fairuz Hamid, pekerja di kedai menjual ayam, Hamid & Sons berkata sejak penularan Covid-19, perniagaannya merosot tetapi telah melihat sedikit peningkatan.

"Ramai juga yang telah datang minggu ini berbanding kepada minggu sebelum ini untuk mendapatkan bekalan ayam mereka.

"Kira-kira 30 orang pelanggan telah datang sejak 6 pagi," katanya.

Seorang pembeli Cik Erdyyanna Norman, 42 tahun, berkongsi bahawa sebagai amalan biasa, beliau selalu menelefon pemilik gerai terlebih dahulu untuk menyediakan bekalannya.

"Ia bukan hanya menjimatkan masa saya tetapi juga membolehkan saya mengurangkan risiko jangkitan virus Covid-19 dengan mengehadkan masa saya di luar rumah," katanya.


"... saya ingin galakkan masyarakat untuk mengunjungi pasar lain yang kurang sesak atau memilih untuk ke pasar pada waktu lain ketika ia tidak begitu sibuk sebagai usaha meningkatkan pengamalan jarak selamat."
- Anggota Parlimen GRC Marine Parade di mana terletaknya Pasar Geylang Serai, Encik Tan Chuan-Jin, yang gembira ramai kini lebih prihatin langkah pencegahan, guna pelitup dan jaga jarak selamat.

Video Baru

Podcast Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Try the new Halal Food Map