Pasar tidak begitu sesak tetapi peniaga prihatin niaga berkurangan, Berita Setempat - BeritaHarian.sg
Subuh
5:29
Syuruk
6:47
Zuhur
12:50
Asar
4:08
Maghrib
6:52
Isyak
8:02
Suatu Ketika di Singapura
Berita Harian SoSedap: Sokong kedai makan halal tempatan kita dan menangi baucar $100 Takashimaya!
Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Setempat3

'PEMUTUS LITAR'

Pasar tidak begitu sesak tetapi peniaga prihatin niaga berkurangan

Tinjauan BH di Pasar Geylang Serai, Jurong West
Apr 09, 2020 | 05:30 AM

TIDAK seperti hari-hari lain, barisan panjang dilihat di pekarangan pasar serata Singapura, menjelang hari kedua 'pemutus litar' berkuat kuasa.

Semalam, pengunjung pasar 'disambut' dengan kepungan yang telah dipasang Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), sekali gus memerlukan mereka untuk beratur dan menunggu giliran membeli-belah di dalam pasar.

Dalam pada itu, beberapa pegawai penguatkuasaan turut dikerahkan untuk turun padang dan memastikan pengunjung pasar mengamalkan jarak selamat ketika membeli-belah.

Dengan perubahan yang berlaku semalaman, bukan pelanggan sahaja terjejas dan perlu membuat penyesuaian.

Malah, peniaga juga rata-ratanya menyuarakan keprihatinan tentang perniagaan mereka yang sudah mula merosot, ketika Berita Harian (BH) mengunjungi Pasar Geylang Serai dan Pasar Jurong West semalam.

Pemilik gerai yang menjual barang kering di Geylang Serai, Encik Ahmad Omar, 62 tahun, berkata: "Jumlah pelanggan merosot banyak. Mereka tak nak buang masa beratur panjang, jadi mereka mungkin cari alternatif lain seperti pasar raya."

Beliau yang menganggarkan perniagaan merosot sekitar 50 peratus turut meluahkan keprihatinan bagaimana beberapa pelanggannya yang memesan barang tidak jadi mengambilnya kerana tidak mahu beratur.

Turut merasakan perniagaannya merosot sekitar 30 peratus, Encik Zaid Bakar, 56 tahun, berkata beliau "risau" buat perniagaannya memandangkan beliau perlu menanggung dua anaknya yang masih sekolah.

Sepanjang perniagaannya di Geylang Serai lebih 40 tahun, di mana beliau pernah berhadapan dengan krisis Sars, penjual daging itu berkata kesan pandemik Covid- 19 ini lebih teruk.

Ketika ditanya jika beliau mempertimbangkan khidmat penghantaran, Encik Zaid berkata peniaga di pasar mengharapkan pelanggan datang secara fizikal dan beli barang di pasar.

Akur bahawa langkah ini suatu yang perlu, beliau berkata: "Asalkan pasar tidak ditutup sepenuhnya."

Selain itu, penjual sayur-sayuran, Encik Muhammad Kamal Samsudin, 58 tahun, berkata langkah ini mungkin menjejas warga emas yang tidak mampu beratur panjang dan terpaksa membatalkan niat mahu beli-belah di pasar tersebut.

Beliau berkata bahawa perniagaannya lembap dan sudah merosot sekitar 40 peratus.

Antara warga emas yang dijumpai menolak troli penuh barang sambil beratur sekitar waktu tengah hari semalam adalah Cik Kasmah Bahari, 69 tahun.

Beliau yang ke pasar Geylang Serai sekitar tiga kali dalam semingu meluahkan kepenatan beratur dan berkata lututnya sudah lenguh.

"Langkah ini memang satu yang bagus, tetapi mungkin boleh cari cara untuk memudahkan atau memberi keutamaan kepada warga emas yang tidak kuat," ujarnya.

Walau sudah menjangkakan keadaan demikian, ia tidak menghambat keinginan sestengah pembeli daripada meneruskan niat membeli barang dapur.

Cik Nur Sabrina Mohmad Sahfiee, 21 tahun, berkata: "Walaupun ia tidak begitu menyenangkan, ia langkah yang baik untuk mengelak kesesakan."

Guru pendidikan khas itu yang ke Pasar Geylang Serai sekitar dua kali dalam sebulan berkata beliau tidak kisah jika perlu beratur demi kebaikan semua.

Bagi Cik Hayati Adi, 68 tahun, pula langkah untuk mengawal jumlah pelanggan di pasar adalah sesuatu yang perlu.

Meskipun perlu beratur, suri rumah itu berkata beliau memilih untuk ke Pasar Geylang Serai disebabkan "kepelbagaian sayur-sayur kampung" yang sukar untuk didapati di pasar lain.

Di Pasar Geylang Serai, NEA telah memperuntukkan laluan keluar masuk buat pengunjung di dua bahagian. Terdapat juga tambahan laluan keluar di lagi satu bahagian pasar itu.

Sementara itu di Pasar Jurong West, agensi itu hanya memperuntukkan satu laluan sahaja khususnya untuk masuk dan untuk keluar.

Semasa lawatan BH ke sana sekitar 9 pagi, orang ramai dilihat membentuk barisan panjang di laluan masuk ke pasar di Blok 505 di Jurong West Street 52 itu.

Mereka beratur mengikut pelekat kuning yang ditampal di lantai, berdiri semeter dari satu sama lain.

Difahamkan pelekat tersebut ditampal majlis bandar kawasan itu awal pagi semalam untuk memperketatkan lagi jarak selamat antara pelanggan.

Setiap beberapa minit, empat hingga lima pelanggan dibenarkan masuk untuk melakukan pembelian mereka.

Cik Noor Aishah Mahat, yang ketika ditemui wartawan, sedang menunggu gilirannya untuk masuk ke pasar, berkongsi beliau telah beratur selama kira-kira 10 minit.

"Saya tidak tahu sama ada langkah ini baik atau tidak. Kalau bagi warga lebih tua yang mungkin tidak boleh berdiri lama, ia mungkin satu masalah. Tetapi, apapun kita kena juga ikut peraturan," kata suri rumah berusia 55 tahun itu, yang mengunjungi pasar itu dua hingga tiga kali seminggu.

Namun, disebabkan 'norma baru' ini, Cik Noor Aishah menambah beliau akan mengurangkan kunjungannya kepada sekali sahaja.

Seorang lagi pelanggan tetap pasar itu, Cik Asnah Atan, memandang positif terhadap langkah ini.

"Permulaannya, apabila disuruh beratur, nampak sukar. Tetapi, apabila dapat masuk (ke pasar), saya rasa ia lebih menyenangkan (untuk membeli barangan)," jelas suri rumah berusia 55 tahun itu.

Suasana di dalam pasar kelihatan lebih lapang dan tidak begitu sibuk, dengan pelanggan mempunyai ruang selesa untuk berbelanja.

Pelekat merah ditampal di lantai untuk mengingat pelanggan untuk mengamalkan jarak selamat.

Jika tidak, terdapat pegawai NEA yang melakukan rondaan di pasar itu untuk mengingat atau memberi nasihat kepada pelanggan.

Namun begitu, langkah mengawal bilangan pelanggan ini menjejas peniaga.

Pekerja gerai menjual daging ayam dan lembu, Zul & Endon, Cik Junaimah Jamil, berkata beliau belum mendapat jualan sejak kedainya dibuka pada 7 pagi.

"Perniagaan hari ini agak lembap. Saya belum dapat sebarang jualan lagi. Selalunya masa begini ramai pelanggan datang," ujarnya, 55 tahun.

Selain dua pasar ini, NEA juga menguatkuasa langkah mengehadkan bilangan pelanggan di 13 lagi pasar.

Ini termasuk Pasar Tiong Bahru, Pasar Bukit Timah, Pasar Tanglin Halt, Pasar Taman Jurong, pasar-pasar di Blok 630 Bedok Reservoir Road, Blok 409 Ang Mo Kio Avenue 10, Blok 453A Ang Mo Kio Avenue 10, Blok 527 Ang Mo Kio Avenue 10, Blok 628 Ang Mo Kio Avenue 4, Blok 13/14 Haig Road, Blok 4A Eunos Crescent, Blok 104/105 Yishun Ring Road dan Blok 137 Tampines Street 11.


APA KATA PENJUAL:

Jumlah pelanggan merosot banyak. Mereka tak nak buang masa beratur panjang, jadi mereka mungkin cari alternatif lain seperti pasar raya.
- Pemilik gerai yang menjual barang kering di Geylang Serai, Encik Ahmad Omar, 62 tahun.

Perniagaan hari ini agak lembap. Saya belum dapat sebarang jualan lagi. Selalunya, masa begini, ramai pelanggan datang.
- Pekerja gerai Pasar Jurong West yang menjual daging ayam dan lembu, Cik Junaimah Jamil.

APA KATA PEMBELI: 

Langkah ini memang satu yang bagus, tetapi mungkin boleh cari cara untuk memudahkan atau memberi keutamaan kepada warga emas yang tidak kuat.
- Cik Kasmah Bahari, 69 tahun, yang ditemui di Pasar Geylang Serai.

Permulaannya, apabila disuruh beratur, nampak sukar. Tetapi, apabila dapat masuk (ke pasar), saya rasa ia lebih menyenangkan (untuk membeli barangan).
- Cik Asnah Atan, 55 tahun, yang berada di Pasar Jurong West Street 52.

Saya tidak tahu sama ada langkah ini baik atau tidak. Kalau bagi warga lebih tua yang mungkin tidak boleh berdiri lama, ia mungkin satu masalah. Tetapi, apapun kita kena juga ikut peraturan.
- Cik Noor Aishah Mahat, yang sedang menunggu gilirannya untuk masuk ke Pasar Jurong West Street 52.

Video Baru

Podcast Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Try the new Halal Food Map