Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:14
Maghrib
7:15
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Pasca nahas Tanjong Pagar: Wanita yang melecur susuli percubaan selamatkan tunang harungi 32 pembedahan

Dec 11, 2021 | 06:32 PM



BAGI empat bulan lamanya, Cik Raybe Oh Siew Huey, bertarung dengan nyawanya apabila dirawat di Hospital Besar Singapura (SGH) selepas mengalami kelecuran yang teruk sehingga tidak mampu bernafas sendiri.



Pada suatu masa, wanita berusia 26 tahun itu berdepan dengan radang paru-paru yang mengancam nyawanya sehingga perlu diberi intubasi, sehingga beliau tidak dapat berbual, minum atau makan selama enam hari ketika di Unit Jagaan Rapi (ICU).



"Apabila saya di ICU, saya benar-benar fikir saya harus mati sahaja sebab ia terlalu menyakitkan," jelas mantan pramugari dan penyanyi getai dalam pos Instagram yang ditukil akhbar The Straits Times.



Cik Oh mengalami kelecuran sehingga 80 peratus tubuhnya pada 13 Februari tahun ini ketika cuba menyelamatkan tunangnya, Encik Jonathan Long, 29 tahun, dan empat kawannya, daripada kereta yang terbakar. Kereta BMW M4 itu merempuh sebuah rumah kedai di Tanjong Pagar.



Semua lima lelaki yang terlibat dalam nahas ini meninggal dunia.



Cik Oh dikejarkan ke SGH dan dirawat di ICU sebelum keadaannya mantap dan beliau boleh dipindahkan ke wad pergantungan tinggi sekitar seminggu selepas itu.



Namun, ujiannya belum lagi tamat. Beliau perlu menghabiskan berbulan lamanya menjalani 32 pembedahan bagi membersihkan lukanya dan tompok-tompok graf pada kulit serata tubuhnya.



Dalam beberapa siri pos Instagram pada awal pagi Sabtu (11 Disember), Cik Oh berkata beliau remuk redam melihat ibunya menangis di hospital.



"Saya memberitahu diri saya yang saya harus kuatkan semangat dan tidak boleh membiarkan ibu saya menderita. Setiap kali saya menjalani pembedahan, saya menahan sebak kerana saya tidak mahu ibu saya bersedih.



"Namun, ada masanya apabila rasa perit itu tidak dapat dibendung dan saya menangis dan ibu menangis bersama saya. Ia bukanlah sesuatu yang mudah buat ibu," katanya lagi.



Ketika dihubungi akhbar The Straits Times, Cik Oh berkata ibunya adalah tunggak kekuatannya.



"Saya kuat semangat kerana saya dibesarkan seorang wanita yang kuat semangat juga," tambahnya.



Video kemalangan itu menunjukkan Cik Oh berlari ke arah kereta yang dibaham api dalam usaha menyelamatkan beberapa mangsa kemalangan tersebut.



Beliau kemudian kelihatan keluar daripada ruang berapi itu dalam keadaan terbakar dan berlari ke arah rumah kedai di hadapan kejadian.



Pada Sabtu, beliau berkongsi dirinya tidak menyesal cuba menyelamatkan tunangnya yang sepatutnya meraikan ulang tahun perkenalan tiga tahun bersama pada April tahun ini.



"Kalau saya boleh putar semula masa, saya akan melakukannya lagi. Saya hanya sangat kasihan dengan keluarga saya kerana perlu menyaksikan kesakitan yang saya harungi," katanya.



Beliau menambah hubungannya dengan keluarganya dan keluarga Encik Long semakin akrab sejak kemalangan itu.



"Mereka adalah tunggak dan kekuatan saya agar teruskan perjuangan. Teman rapat saya juga sangat penyayang. Mereka selalu meluangkan masa menemani saya bagi memastikan kesejahteraan minda saya tidak digugat," katanya.



Cik Oh berkata saluran pernafasannya cedera dan beliau tidak mempunyai daya upaya paru-paru untuk menyanyi kini.



Kos perubatan selepas dibenarkan pulang dari hospital pada Jun lalu mencecah lebih $538,000 tetapi kebanyakannya dibiaya insuran.



"Saya sangat berterima kasih kepada jururawat di SGH kerana menjaga saya dengan sangat baik. Tidak lupa kepada doktor. Jabatan Pembedahan Plastik SGH adalah yang terbaik di Asia. Saya sepenuhnya mempercayai mereka," ujarnya.



Cik Oh kini kembali ke SGH di mana beliau dirawat bagi sesi lanjutan.



Beliau menjangkakan akan menghabiskan banyak masa di situ tahun depan bagi beberapa pembedahan mencorak semula wajah dan tubuhnya yang berbilang kali perlu dilaksanakan dan sudah dijadualkan.  



Buat masa ini, beliau sedang menjalani pembedahan 'kelepak' kerana parut dalam pada tangannya yang menjejas fungsi tangan itu.



"Ia adalah perjalanan pemulihan yang sangat panjang buat saya. Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada setiap orang yang mengirimkan kata-kata perangsang buat saya. Saya terharu kerana menerima penuh kasih sayang daripada orang yang saya langsung tidak kenali," tambahnya.



 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >