WARGA Singapura yang memohon pasport baru mungkin perlu tunggu hingga sebulan, menurut Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA).
"Disebabkan permohonan pasport terlalu banyak, sila jangkakan masa pemprosesan lebih lama sekurang-kurangnya satu bulan," kata ICA di lamannya semalam.
Bulan lalu, permohonan berjaya diproses dalam masa satu minggu, atau lebih lama semasa waktu sibuk.
Awal minggu lalu, ICA berkata ia menerima jumlah permohonan yang tinggi bulan lalu, dengan satu juta pasport sudah atau hampir luput, di tengah-tengah pelonggaran sekatan sempadan dan pelaksanaan Rangka Kerja Laluan Perjalanan bagi yang Sudah Menjalani Vaksinasi (VTL).
Sekitar 6,000 permohonan diterima setiap hari, purata tiga kali ganda semasa pra-Covid-19 dua tahun lalu, iaitu 2,000 permohonan, katanya.
ICA menasihatkan rakyat Singapura yang mempunyai rancangan melakukan perjalanan dalam beberapa bulan akan datang dan perlu memperbaharui pasport mereka supaya berbuat demikian lebih awal. Ini boleh dilakukan melalui laman webnya. Yuran permohonan ialah $70.
Setelah pasport siap, pemohon akan dimaklumkan dan mereka boleh membuat janji temu untuk mengambilnya di mana-mana 27 pejabat pos yang ditetapkan tanpa perlu membayar yuran tambahan.
ICA menambah bahawa warga Singapura yang tidak mempunyai rancangan melakukan perjalanan ke luar negara dalam enam bulan mendatang tidak perlu terburu-buru memperbaharui pasport mereka.
Ini kerana pasport bukan dokumen pengenalan diri wajib, dan tiada hukuman dikenakan bagi mereka yang tidak memperbaharui pasport mereka yang luput.
Sejak 1 April lalu, warga Singapura yang sudah mengambil vaksin sepenuhnya boleh melakukan perjalanan antara Singapura dan Malaysia melalui darat, termasuk dengan memandu dan menaiki pengangkutan awam, tanpa ujian atau kuarantin.