Pasukan bertindak dibentuk galak warga amal gaya hidup sihat

Amrin Amin pengerusikan pasukan bertindak berbilang agensi

SEBUAH pasukan bertindak berbilang agensi telah dibentuk untuk mengkaji cara bagi menggalak warga Singapura mengamalkan gaya hidup lebih sihat.

Pasukan bertindak yang dipengerusikan Setiausaha Parlimen Kanan (Kesihatan merangkap Ehwal Dalam Negeri), Encik Amrin Amin, itu akan menjalankan sesi perundingan awam dari Januari hingga Mei tahun depan untuk mendapatkan idea menggalak kesihatan dari orang ramai.

Mereka juga akan menyelaras usaha merentasi pelbagai agensi awam termasuk Kementerian Pembangunan Negara (MND) dan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF), umum Menteri Kesihatan, Encik Gan Kim Yong, semalam.

Bercakap dalam satu acara sempena Hari Kencing Manis Sedunia di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec, Encik Gan berkata pasukan bertindak itu akan memberi tumpuan kepada tiga bidang utama.

Ini termasuk mengubah persekitaran masyarakat, memperkasa individu menerusi teknologi dan mendekati masyarakat dengan mengadakan program dan penyediaan perkhidmatan lebih baik.

Ini memandangkan usaha 'Perang Kencing Manis' yang dilaksanakan pemerintah telah menyediakan asas kukuh untuk membolehkan lebih banyak lagi usaha untuk menggalak kesihatan, kata Encik Gan.

Sejak perang kencing manis diperkenalkan pada 2016, makanan dan minuman yang lebih sihat kini mudah didapati.

Selain itu, kata Encik Gan, usaha berterusan terus dilaksanakan untuk menggalak gaya hidup lebih aktif di kalangan warga Singapura.

Misalnya, pada Jun lalu, lebih 6,500 gerai makanan dan minuman telah menawarkan pilihan lebih sihat dalam menu mereka sebagai sebahagian program makan lebih sihat oleh Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB), katanya.

"Selain kemajuan dari segi kualiti makanan yang lebih sihat dan aktiviti fizikal yang lebih padat, kita juga perlu menyepadu, menyelaras dan mempertingkat usaha untuk menyuntik kepentingan kesihatan dalam kehidupan setiap warga Singapura," ujar Encik Gan.

Tema Hari Kencing Manis Sedunia, iaitu 'Keluarga dan Kencing Manis' juga menurut Encik Gan merupakan satu peringatan tepat pada masanya tentang bagaimana kencing manis bukan sahaja meninggalkan kesan terhadap pesakit bahkan keluarga mereka.

"Di satu sudut ia menambah beban kewangan dan penjagaan terhadap keluarga.

"Tetapi pada sudut lain, keluarga juga memainkan peranan penting dalam memerangi dan memenangi perang ini seperti mewujudkan sekitaran yang menggalak kehidupan sihat bersama selain menawarkan sokongan sosial dan emosional kepada ahli keluarga yang mempunyai kencing manis," tambah Encik Gan.

Sementara itu, menulis di Facebooknya, Encik Amrin berkata meskipun lebih ramai warga yang kini mengamalkan gaya hidup sihat, tetapi banyak lagi yang boleh dilakukan.

"Untuk menggalak kehidupan yang sihat, kita akan memanfaatkan kuasa rangkaian masyarakat, prasarana, teknologi dan tingkah laku.

"Kami mengalu-alukan pandangan dan maklum balas anda bagaimana kita boleh kekal sihat bersama.

"Ayuh sertai sesi konsultasi awam kami mulai Januari hingga Mei tahun depan untuk mengongsi pandangan dan saranan anda," tulisnya.

Tambahnya, rakan sekerjanya Encik Baey Yam Keng, Cik Low Yen Ling, Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim dan Cik Sun Xueling turut akan menyertainya dalam usaha tersebut.


"Untuk menggalak kehidupan yang sihat, kita akan memanfaatkan kuasa rangkaian masyarakat, prasarana, teknologi dan tingkah laku.
Kami mengalu-alukan pandangan dan maklum balas anda bagaimana kita boleh kekal sihat bersama. Ayuh sertai sesi konsultasi awam kami mulai Januari hingga Mei tahun depan untuk mengongsi pandangan dan saranan anda."

- Setiausaha Parlimen Kanan (Ehwal Dalam Negeri merangkap Kesihatan), Encik Amrin Amin, dalam posnya di Facebook. Beliau menjadi pengerusi pasukan bertindak berbilang agensi untuk mengkaji cara bagi menggalak warga Singapura mengamalkan gaya hidup lebih sihat.