Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

PCF sedia lagi 15,000 tempat prasekolah bagi tempoh 5 tahun

Sep 10, 2018 | 05:30 AM



YAYASAN Masyarakat PAP (PCF) akan menyediakan lebih 15,000 tempat tambahan bagi kanak-kanak prasekolah dalam tempoh lima tahun akan datang dengan membina pusat lebih besar dan memperbaiki kemudahan sedia ada.



PCF, cabang amal Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang antara lain mengendalikan pusat pendidikan awal kanak-kanak Sparkletots, juga akan mempertingkat peluang pembelajaran dan peningkatan kemahiran pendidik dan kakitangan.



Mereka juga bakal memperkenal lebih banyak usaha menyokong pelajar memerlukan.



Demikian umum Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam ucapannya sempena Hari Keluarga PCF semalam di Taman di Persisiran.



"Kami ingin mewujudkan asas hidup yang kukuh buat kanak-kanak dan pada masa yang sama (memastikan mereka) menikmati pengalaman prasekolah.



"Oleh sebab itu, pemerintah meningkatkan perbelanjaan (yang diperuntuk) bagi prasekolah dan membolehkan ibu bapa memberi pendidikan prasekolah bermutu dan dimampui buat anak," katanya.



PCF juga mengendalikan pusat penjagaan warga emas Sparkle Care, yang bertujuan membantu keluarga dengan ibu bapa berusia.



Kanak-kanak dan warga emas masing-masing mempunyai peluang berinteraksi melalui Sparkletots dan Sparkle Care, tambah Encik Lee.



Sebagai pengendali prasekolah terbesar di Singapura, PCF Sparkletots sebelum ini sudah mewujudkan sekitar 10,000 tempat bagi kanak-kanak dalam tempoh tiga tahun.



PCF juga merancang membina dua lagi pusat penjagaan warga tua PCF Sparkle Care pada pertengahan 2019 - tambahan kepada tiga pusat yang ada sekarang.



Dalam acara semalam, Anggota Parlimen (AP) PAP pun berjaya mengumpulkan sebanyak $666,000 untuk diagihkan kepada 21 badan amal.



Wang itu antara lain akan diberikan kepada Kelab Heal, Rumah Kebajikan Muhammadiyah (RKM) dan Persatuan Barah Singapura.



Hari Keluarga PCF disertai kanak-kanak dan keluarga dari sekitar 360 pusat PCF seluruh Singapura serta warga emas PCF Sparkle Care @ Yew Tee.



Encik Lee diiringi Menteri Negara Kanan Kementerian Sekitaran dan Sumber Air, Dr Amy Khor; Menteri Pembangunan Negara dan Menteri Kedua Kewangan, Encik Lawrence Wong, yang juga pengerusi Jawatankuasa Penganjur Hari Keluarga PCF tahun ini; dan Menteri Kesihatan, Encik Gan Kim Yong, yang juga Pengerusi Majlis PCF.



Selain persembahan kanak-kanak prasekolah, acara memaparkan hasil kraf tangan PCF Sparkletots dan Sparkle Care.



Hasil kraf tangan murid tadika dua PCF Sparkletots, Zayna Rizqin Mohammad Zulkiffli, enam tahun, terpilih dipapar. Kanak-kanak itu berserta keluarganya berpeluang berinteraksi dengan Encik Lee.



Menurut ibunya, Cik Nor Asyikin Mohamed Naim, 44 tahun, beliau memilih PCF kerana pusat itu menawarkan keseimbangan antara pembelajaran akademik dengan ruang bagi kanak-kanak meneroka bidang seni.



"Selain harga berpatutan, kurikulum yang ditawarkan amat baik kerana, di samping menekankan peri pentingnya pembelajaran akademik, kanak-kanak berpeluang menikmati aktiviti seperti kraf tangan dan melukis," katanya.



Beliau berkata semua lima anaknya mengikuti pendidikan prasekolah di cawangan PCF Sparkletots sama di kolong blok mereka dalam estet Chai Chee.



Bapa Zayna, Encik Mohammad Zulkiffli Abu Bakar, 46 tahun, juga bekas pelajar tadika PAP sekitar 40 tahun lalu.



"Kami suka bagaimana guru di sana gunakan cara mengajar kreatif dalam kelas. Kami juga mendapati kemahiran sosial dan bahasa Zayna semakin baik sejak bersekolah di sana," ujarnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >