APABILA seorang wanita terperangkap di bawah sebuah kereta di luar bangunan Parlimen pada 14 November lalu, sekumpulan pegawai Certis Cisco dengan segera menawarkan bantuan mereka.
Staf Sarjan Mohammad Jamaludin, 48 tahun, yang sedang bertugas di Mahkamah Tinggi pada pagi hari itu memberitahu beliau terdengar bunyi kuat dari luar dipercayai dari sebuah kemalangan di luar.
Beliau merupakan individu pertama yang bergegas ke tempat kemalangan yang melibatkan sebuah kereta BMW dan Honda pada sekitar 8.15 pagi.
Pegawai polis tambahan itu melihat kereta Honda itu telah terbalik selepas melanggar beberapa adangan dan pemandunya terperangkap dalam kereta itu.
"Separuh badannya berada di dalam kereta itu dan terdapat kaca yang bersepah di situ," kata SSG Mohammad.
"Saya menarik dia keluar dengan perlahan-lahan dan saya lihat dia seperti pengsan di atas tanah. Saya membantunya dengan memberi sokongan di kepalanya dan mula bertanya tentang keadaan dirinya."
Pemandu kereta itu, yang sedarkan diri tetapi kelihatan dalam keadaan terkejut, berupaya memberitahu SSG Mohammad bahawa terdapat seorang penumpang wanita di dalam keretanya.
Pada waktu itu, Sarjan Jackson Toh, 40 tahun, seorang lagi pegawai polis tambahan yang sedang bertugas di Bangunan Parlimen tiba di tempat kemalangan itu dan ternampak seorang wanita yang terperangkap di bawah kereta Honda tersebut.
Beliau berkata, terdapat ramai pejalan kaki yang telah tampil membantu dan prihatin terhadap nasib wanita itu.
"Kami semua takut sekiranya berat kenderaan itu akan menghempap wanita itu sehingga menyebabkan beliau berada dalam keadaan kritikal, jadi kami memutuskan untuk membalikkan kereta itu dan menyelamatkan dia," katanya.
"Semua orang telah membantu menaikkan kenderaan itu secara perlahan dan kami berjaya mengeluarkan wanita itu dengan selamat dari bawah kereta itu."
Dalam satu rakaman kemalangan tersebut, wanita itu kelihatan tercampak dari jendela kereta Honda itu apabila ia terbabas dan hampir terbalik, kemudian jatuh ke atas tanah sebelum kereta itu menghempapnya.
Satu gambar yang tukar di media sosial menunjukkan lebih daripada sedozen orang datang membantu menaikkan kereta itu.
Sarjan Toh berkata, beliau berterima kasih kepada anggota masyarakat umum telah datang untuk menghulurkan bantuan.
"Saya rasa berbesar hati dapat melihat semua orang berganding bahu untuk menyelamatkan nyawa, dan tanpa kerjasama itu, saya rasa kami tidak berupaya melakukan apa-apa."