Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SIRI LAPORAN ANTIDADAH Kerjasama antara Berita Harian/Minggu dengan Biro Narkotik Pusat (CNB)

Pegawai CNB veteran kongsi cabaran banteras salah guna dadah

Feb 17, 2019 | 05:30 AM



Usaha menentang penyalahgunaan dadah di Singapura telah menarik penglibatan ramai pihak – daripada pegawai Biro Narkotik Pusat (CNB) kepada sukarelawan dan juga badan tempatan. BERITA MINGGU menemubual sebahagaian daripada mereka bagi menyingkap pengalaman golongan tersebut sepanjang menjadikan negara ini bebas dadah.




SEKALI pandang, seakan tidak percaya dua lelaki ini masih berkhidmat di Biro Narkotik Pusat (CNB).



Sungguhpun raut wajah mereka menggambarkan usia yang menjangkau senja, tidak dinafikan gerak-geri Timbalan Superintenden (DSP) Geoffrey Soh, 62 tahun, dan Encik Balakrishnan Anbarasan, 64 tahun, yang teratur dan profesional mencerminkan pengalaman luas mereka dalam bidang tersebut.



Setiap seorang pegawai veteran ini telah menyumbang lebih 40 tahun berkhidmat bersama agensi penguatkuasaan dadah itu.



Tatkala ditemui Berita Minggu, mereka berdua sudi mengongsi pengalaman bertugas sebagai pegawai CNB sejak 1970-an lagi.



Pada ketika itu, penggunaan dadah di Singapura amat berleluasa.



Orang ramai boleh dilihat mengambil dadah secara terbuka di tepitepi jalan dan tempat awam.



"Saya dulu tinggal di kawasan Farrer Park. Di sepanjang deretan kedai teh sarbat, saya lihat orang hisap ganja merata-rata," kata Encik Anbarasan yang bersara sebagai DSP dan kini memegang jawatan pegawai senior di unit latihan CNB.



DSP Soh pula, yang kini ditugaskan sebagai ketua bahagian penyiasatan CNB, berkata:



"Dulu, pengedar dadah ini datang kepada orang ramai dan jual dadah kepada mereka. Semuanya dilakukan secara terbuka."



Menurutnya lagi, dadah seperti candu dan morfin biasa diambil oleh orang dewasa.



Golongan remaja pula lebih cendurung kepada pengambilan pil MX, ganja dan heroin.



Rakan-rakannya di sekolah dan semasa menjalani Perkhidmatan Negara (NS) juga ada yang terjebak dalam pengambilan dadah.



"Ini yang mendorong saya sertai CNB," kata DSP Soh yang memasuki agensi itu pada 1979, enam bulan selepas menamatkan NS-nya.



Bagi Encik Anbarasan pula, dorongan memilih kerjaya bersama CNB agak unik.



"Saya pilih CNB sebab kurangnya menggunakan pakaian seragam," guraunya yang menyertai agensi itu pada 1975.



Gaji bulanan yang lumayan sebanyak $285 pada ketika itu juga menarik perhatiannya.



Namun, kesungguhan Encik Anbarasan mahu meneruskan usaha mencegah dadah lahir daripada keseronokan memintas pengedar dadah yang bijak serta licik.



"Lagi awas pengedar dadah itu bertindak, lebih lagi keinginan saya menangkapnya," ujarnya lagi.



Menceritakan pengalamannya mengendalikan satu gerakan pada 1980-an, Encik Anbarasan pernah menangkap seorang pengedar dadah yang menyembunyikan dadah di dalam mazbah (altar) Cina.



"Apabila pasukan saya serbu rumah pengedar itu, pada awalnya kami tidak jumpa apa-apa tapi saya perasan matanya sekilas pandang ke arah mazbah di rumahnya.



Kami kembali ke rumahnya untuk periksa sekali lagi dan jumpa dadah di kaki mazbah itu," kongsinya.



DSP Soh turut menegaskan akan perubahan landskap dadah di Singapura.



"Pesalah dadah semakin bijak dan permintaan dadah pun meningkat," ujarnya.



Pada lewat 1980-an, beliau pernah mengendalikan kes berkaitan candu.



Dengan memandu kereta, beliau dan pasukannya menjejak gerak-geri seorang lelaki yang dipercayai mengedar candu.



"Keretanya masuk ke sebuah stor di kawasan yang sibuk namun selepas ia keluar dari tempat itu, kami perhati but keretanya melendut.



Kami menjumpai 20 kilogram dadah di dalam but itu," ujarnya.



Selain itu, dengan penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat oleh pemerintah, penagih dadah sudah tidak lagi menghisap dadah secara terbuka.



Keadaan ini merumitkan lagi usaha mencegah penggunaan dadah pada ketika itu apatah lagi dengan timbulnya beraneka jenis dadah baru seperti 'Ice', menurut Encik Anbarasan.



Antara perkara lain yang membawa perubahan ialah proses pengumpulan air kencing pesalah dadah.



Dalam era 1970-an, pegawai CNB menggunakan tabung uji yang ditutup gabus untuk membubuh air kencing yang dikumpul.



Ini kemudian dimateri dengan cairan lilin bagi memastikan kandungan tabung uji itu tidak tertumpah.



Tabung uji itu dibiarkan di rak-rak selama sehari begitu sahaja.



"Prosedurnya agak leceh. Ada yang tangan mereka terbakar semasa mencairkan lilin, ada pula yang pecahkan tabung uji tatkala memegangnya terlalu kuat," kata Encik Anbarasan.



"Setiap langkah tiada kalis keselamatan namun sekarang semuanya lebih teratur, pegawai tidak boleh sebarangan memegang tabung uji," celah DSP Soh.



Kini, bekas mengumpul air kencing diletakkan di dalam beg yang disteril dan kemudian dimasukkan ke dalam kotak keselamatan yang kuncinya dipegang pegawai Penguasa Sains Kesihatan (HSA).



Ditanya mengenai cabaran lain yang ditempuh sepanjang bekerja sebagai pegawai CNB, DSP Soh berkata beliau pernah tidak balik rumah selama 72 jam dan terpaksa berehat di kerusi konkrit.



"Walaupun amat mencabar, harus ada seseorang yang melakukan tugas ini. Saya anggap ia sebagai satu khidmat kepada negara," tambahnya.



Encik Anbarasan berkata lagi:



"Saya rasa simpati terhadap keadaan wanita dan anak-anak penagih dadah, selalunya mereka yang derita. Ada antara penagih ini masih tak serik-serik."




"Walaupun amat mencabar, harus ada seseorang yang melakukan tugas ini. Saya anggap ia sebagai satu khidmat kepada negara."
- DSP Geoffrey Soh, ketua bahagian penyiasat Biro Narkotik Pusat (CNB).



"Saya rasa simpati terhadap keadaan wanita dan anak-anak penagih dadah, selalunya mereka yang derita. Ada antara penagih ini masih tak serik-serik."
- Encik Balakrishnan Anbarasan, pegawai senior di unit latihan CNB.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >