Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Pegawai kadet terima Pedang Kehormatan

Sep 21, 2018 | 05:30 AM



Latihan gigih dan pengorbanan yang dilakukan oleh 250 pegawai kadet selama berbulan-bulan akhirnya membuahkan hasil, apabila mereka menerima pentauliahan sebagai pegawai Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) di perbarisan yang dihadiri Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman. Antara mereka ialah dua anak Melayu - seorang daripadanya telah dinobat sebagai antara kadet terbaik, dengan menerima Pedang Kehormatan. ATIYYAH MOHD SAID (atiyyahm@sph.com.sg) melaporkan.



HATI Leftenan Muda (2LT) Ashruff Muhammed Ibrahim remuk apabila beliau diberitahu ramai askar dalam platunnya ditumpaskan, meskipun ia hanya satu misi latihan biasa.



Tetapi pengalaman itu sudah cukup untuk menyedarkannya bahawa tanggungjawab sebagai seorang komander platun sangat besar dalam melindungi rakan seperjuangan dan negara.



Semangat perjuangan yang tinggi dan rasa kebanggaan utuh terhadap negara dipamerkan 2LT Ashruff telah mendapat pengiktirafan Pedang Kehormatan, yang disampaikan oleh Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman, semasa Perbarisan Pentauliahan bagi Sekolah Pegawai Kadet (OCS).



Pedang Kehormatan tersebut diberikan kepada 10 peratus kadet terbaik yang terpilih di akhir Kursus Pegawai Kadet (OCC) selama 38 minggu, berdasarkan prestasi cemerlang dalam semua aspek termasuk fizikal, akademik, perancangan dan pelaksanaan dan kepimpinan.



Semasa dihubungi, 2LT Ashruff, 21 tahun menjelaskan meskipun beliau bangga dengan penghormatan itu, tetapi beliau percaya bahawa semua askar adalah sama dan berjuang dengan kegigihan yang sama.



"Anugerah ini membawa satu tanggungjawab besar yang perlu saya ambil berat dan pikul dengan baik.



"Pada masa yang sama, ia tidak membezakan saya dengan askar yang lain. Apa yang penting, dalam menjalankan tugasan, sikap seseorang itu penting.



"Semangat perpaduan dan perjuangan kita diuji sama semasa latihan dan bila kita mempertahankan negara," ujar lulusan Politeknik Ngee Ann dalam bidang perniagaan dan perakaunan itu.



Menceritakan pengalaman menarik sepanjang latihan itu, 2LT Ashruff mengimbas kembali betapa beliau merasa kecewa apabila misi latihan yang dipimpinnya menyebabkan 'kematian' rakan askar lain.



"Walaupun ia hanyalah satu latihan, tetapi saya rasa begitu terjejas.



"Ia satu pengalaman yang saya tidak dapat lupakan kerana ia mengajar saya bahawa sesuatu misi itu sangat penting kerana kita mempertahankan negara dan nyawa rakyat.



"Satu hal penting yang saya timba daripada pengalaman latihan keseluruhan ialah kita tidak boleh mengambil ringan isu pertahanan dan keselamatan negara.



"Saya kini sedar perlunya untuk sentiasa bersedia dari segi mental dan sama-sama mengambil tanggungjawab," tekan beliau.



Anak kedua dalam tiga beradik itu turut berkongsi pengalamannya menjalani Kursus Keyakinan Hutan (JCC) bersama teman askar Muslim lain semasa bulan Ramadan.



Menurut 2LT Ashruff, meskipun ia satu pengalaman yang baru lagi mencabar namun ia telah menguji kekentalan semangat perpaduan dan sejauh mana kesediaan mentalnya.



"Salah satu cabaran dalam latihan ini tentunya kerana kita berpuasa.



"Namun sebab saya biasa bersukan, khususnya hoki sebelum ini dan sudah terbiasa menjalankan latihan semasa puasa, ia tidak terlalu asing bagi saya. Namun ia tetap mencabar dari segi mental dan fizikal.



"Ia juga menguji sejauh mana kita bekerjasama sebagai satu pasukan, jika ada yang mahu putus asa kita menggalak satu sama lain dan bantu-membantu dan ini sesuatu yang bermakna yang kami pelajari daripada pengalaman ini," ujar beliau.



Sementara itu, dalam ucapannya, Dr Maliki berkata sekitaran keselamatan hari ini semakin rumit dan mencabar.



Pengganasan adalah satu keprihatinan utama bagi banyak pemerintah - termasuk di Singapura, jelas beliau.



"SAF sedar tentang ancaman keselamatan ini terhadap Singapura dan akan terus mengasah keupayaan dalam operasi bandar, membina keupayaan dalam operasi keselamatan dalam negeri serta bekerja rapat dengan rakan di Home Team dalam operasi bersama," ujarnya.



Pada masa sama, Dr Maliki menjelaskan, Kementerian Pertahanan (Mindef) turut melabur dalam mempertingkatkan keupayaan rangkaian dan sistem terhadap ancaman siber - yang sudah berubah dengan pesat serta boleh menyebabkan gangguan seluruh negara.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >