KES KEMATIAN NS SCDF

Pegawai ketiga didapati salah sebabkan kematian Koperal Kok

SEORANG pegawai waran pertama Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) merupakan orang ketiga didapati bersalah dalam kes menolak anggota Perkhidmatan Negara (NS) Koperal Kok Yuen Chin, 22 tahun, ke dalam perigi, menyebabkan kematiannya.

Semalam, Hakim Daerah Utama Kedua Victor Yeo mendapati Mohamed Farid Mohd Saleh, 36 tahun, bersalah menghasut Muhammad Nur Fatwa Mahmood, 34 tahun, seorang staf sarjan, dengan memberitahunya supaya menolak Koperal Kok ke dalam perigi sedalam 12 meter di Balai Bomba Tuas View pada 13 Mei tahun lalu.

Koperal Kok lemas setelah Nur Fatwa menolaknya ke dalam perigi tersebut.

Dua lagi lelaki terlibat dalam kes ini telahpun mengaku bersalah.

Nur Fatwa dijatuhi hukuman penjara satu tahun dan empat minggu pada Oktober tahun lalu, manakala Adighazali Suhaimi, 33 tahun, seorang staf sarjan, dipenjara sebulan pada Disember lalu.

Dua lagi pegawai, Kenneth Chong Chee Boon, seorang leftenan berusia 38 tahun; dan Nazhad Mohamed Nazi, 40 tahun, seorang pegawai waran kanan pertama, telah menuntut perbicaraan dan kes mereka masih belum selesai.

Pada hari kejadian, hampir kesemua pegawai di balai bomba itu ke bilik kawalan bagi acara memotong kek untuk meraikan tamatnya perkhidmatan negara Koperal Kok.

Beberapa pegawai kemudian mengangkat mangsa dan membawanya ke perigi.

Nur Fatwa memberitahu di sesi perbicaraan bahawa Farid menyuruhnya menolak Koperal Kok ke dalam perigi.

Hakim Yeo berkata apabila komander balai Huang Weikang tahu akan kejadian itu, Nur Fatwa dengan rela mengaku dia telah menolak Koperal Kok dan Farid yang menyuruhnya melakukan perbuatan tersebuit.

Beliau berkata, Farid dan Nur Fatwa adalah rakan rapat.

"Tiada sebab bagi Fatwa salah faham Farid," kata Hakim Yeo.

Mahkamah diberitahu pembelaan Farid adalah "penafian tulen" - bahawa dia tidak menyuruh Nur Fatwa menolak Koperal Kok.

Peguam bela juga menyatakan tidak ada orang lain yang mendengar Farid memberitahu Nur Fatwa untuk menolak Koperal Kok.

Namun Hakim Yeo berkata ini tidak bermaksud Nur Fatwa tidak memberitahu perkara yang benar.

Beliau menambah dalam "kekecohan" yang sedang berlaku di tempat tersebut itu ketika itu, tidak hairanlah jika tiada sesiapa yang lain yang tidak mendengar Farid berbual dengan Nur Fatwa dalam suara yang "antara berbisik dan suara berbual secara biasa".

Farid yang diwakili peguam kini diikat jamin sebanyak $15,000.

Rayuan dan hukumannya akan diadakan pada 20 November ini.