MESKIPUN susah sedikit untuk berjalan beberapa minit keluar dari Taman East Coast ke kawasan khusus untuk menghisap rokok, Encik Johan (bukan nama sebenar) dan dua rakannya akur ia adalah yang terbaik buat semua pengguna taman awam.
Dengan larangan merokok diperluas ke taman awam dan kawasan perairan tertentu sejak 1 Julai lalu, Encik Johan, 31 tahun, yang enggan mendedahkan nama sebenarnya, berkata adalah penting bagi perokok bersikap bertanggungjawab supaya orang lain tidak terdedah kepada asap rokok.
Usahawan bidang kelautan bersama temannya yang sedang bertugas dekat Marine Cove semalam itu terpaksa berjalan keluar dekat tempat letak kereta C2 yang terletaknya kawasan khusus bagi perokok 'berehat' sebentar.
"Tapi sejak pemerintah mengambil sikap tegas terhadap tabiat merokok, saya rasa sudah lama, telah menjadi satu kebiasaan bagi kami (perokok) mengelak daripada mendedahkan asap rokok kepada orang lain," jelas Encik Johan.
Memberi perkembangan terkini, Lembaga Taman Negara (NParks) berkata sehingga 12 tengah hari semalam, sebanyak 39 amaran diberi sejak peraturan baru itu berkuat kuasa.
Tinjauan Berita Harian semalam juga mendapati pegawai NParks berpakaian kemeja polo lengan panjang berwarna putih dan berkolar hijau tua - namun mereka juga boleh memakai baju biasa - disertakan kad identiti NParks digantung di leher, kelihatan mendekati pengunjung Taman East Coast semasa menjalankan tugas mereka.
NParks berkata: "Sejak larangan merokok diperluas dan dikuat kuasa pada 1 Julai 2022, pihak berkuasa telah memantau bilangan pengunjung dan pematuhan perokok di kawasan tersebut."
Di bawah larangan diperluas itu, sesiapa ditangkap merokok di taman awam, beberapa kawasan perairan tertentu seperti Kolam Air Bedok dan 10 kawasan tepi pantai di sini boleh dikenakan denda sehingga $1,000.
Bagi membolehkan perokok membuat penyesuaian, mereka yang ditangkap merokok di kawasan tersebut akan menerima amaran buat masa ini.
Penguatkuasaan sepenuhnya akan dimulakan pada 1 Oktober nanti.
Beberapa perokok yang ditemui BH berkata terdapat sedikit kekeliruan berkenaan di mana mereka dibenarkan merokok.
"Apabila langkah ini dikuat kuasa, terus terang kami tak tahu mana nak merokok. Jadi kami tahan sahaja dan mencari tempat yang jauh daripada orang awam," kata pekerja logistik yang hanya mengenalkan dirinya sebagai Encik Wan Ismail, ketika ditemui di Taman Pantai Changi.
"Tapi kami dapat tahu kawasan terbuka yang tidak dekat dengan taman itu sendiri, seperti tempat letak kereta terbuka, dibolehkan merokok," jelasnya.
Antara tempat yang dibolehkan merokok adalah kediaman, kenderaan privet - hanya jika asap rokok tidak keluar tingkap - tempat terbuka di kawasan kejiranan, pusat bandar, dan tempat awam (kecuali zon dilarang merokok di Orchard Road), dan tempat letak kereta terbuka.
Tiada maklumat dalam talian berkenaan lokasi tepat tempat khusus bagi merokok, namun papan tanda disediakan bagi menunjukkan arah ke tempat merokok itu.