PEGAWAI Penguatkuasa (EO) akan dikerahkan ke ruang awam mulai Selasa (7 April) bagi memastikan langkah jarak selamat dipatuhi, tulis Menteri Sekitaran dan Sumber Air, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, dalam satu catatan Facebook pada Isnin.
Ini adalah antara langkah lebih tegas untuk memastikan penjarakan yang selamat.
"Ketidakpatuhan adalah satu kesalahan. Para Pegawai Penguatkuasa akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana anggota awam yang didapati melanggar langkah-langkah jarak selamat," tulis Encik Masagos.
Dalam satu kenyataan pada Isnin, Kementerian Sekitaran dan Sumber Air (MEWR) berkata bersama-sama Duta SG Clean dan Jarak Selamat, EO itu akan menasihatkan orang ramai agar tidak berkumpul di ruang awam, tidak makan dan minum di tempat makan, serta memastikan jarak selamat ketika beratur.
Ini akan dilakukan dengan mengeluarkan makluman dan tindakan penguatkuasaan, kata MEWR.
"Setiap satu daripada kita memainkan peranan penting dalam menangani COVID-19.
"Dengan mematuhi langkah-langkah jarak selamat, kita dapat membantu menyelamatkan nyawa dan melindungi keluarga, orang yang tersayang dan masyarakat.
"Ini semudah duduk di rumah. Jangan keluar, kecuali jika anda perlu berjumpa dengan doktor atau membeli makanan dan barang keperluan," tulis Encik Masagos.