Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SAJIAN KHAS HARI INI: SOROTAN ISU

Pegawai penyiasat unit mangsa seksual kongsi cabaran

Terutama kes yang libatkan kanak-kanak; pentingnya latihan bagi pegawai kendali kes sedemikian
Apr 14, 2022 | 05:30 AM



MESKIPUN perlu berhadapan dengan pelbagai kes jenayah seksual sepanjang tempoh 11 tahun kerjaya sebagai Pegawai Penyiasat Kanan di Unit Mangsa Khas Divisyen Tanglin, Pasukan Polis Singapura (SPF), Cik Norain Omar akui antara kes yang menyayat hati dan sukar dikendalikan biasanya melibatkan mangsa kanak-kanak.



Selain menyentuh emosi, proses siasatan yang melibatkan kanak-kanak juga memerlukan pegawai untuk menjaga sensitiviti tertentu dan juga jadual waktu - contohnya menjaga waktu tidur, makan dan masa-masa rehat atau beriadah tertentu.



"Ini antara perkara yang biasanya tidak menjadi masalah bagi golongan dewasa, tapi kanak-kanak tak boleh tahan. Contohnya, duduk diam berjam-jam untuk ditemu ramah, sedangkan nak dapatkan perhatian mereka lebih 20 minit pun amat mencabar," kata Cik Norain, 41 tahun, yang mempunyai lebih 20 tahun berkhidmat dengan SPF.



Justeru beliau menekankan pentingnya latihan bagi pegawai polis, terutama sekali mereka yang mengendalikan kes-kes jenayah seksual.



Ini memandangkan berurusan dengan mangsa jenayah seksual memerlukan lebih banyak empati dan sensitiviti yang berbeza daripada kes-kes biasa yang lain, katanya.



"Kita perlu sentiasa ingat bahawa individu-individu ini telah mengalami pelbagai trauma, dan kita perlu elakkan daripada memberi lebih banyak tekanan terhadap mereka, supaya siasatan itu dapat berjalan dengan lancar.



"Justeru, pegawai perlukan lebih banyak latihan dalam mempersiapkan diri menghadapi urusan harian dengan mangsa serangan seksual," ujarnya.



Melalui latihan dan pengalaman, pegawai penyiasat mampu mengenalpasti mangsa serangan seksual dan juga menetapkan butiran kes melalui temu ramah dengan mereka, tambah Cik Norain.



"Dalam mengendalikan kes dengan kanak-kanak, mereka mungkin tidak ingin berbual mengenai topik-topik tertentu.



"Contohnya, jika berlakunya sesuatu di sekolah, mereka mungkin tidak ingin berbual tentang sekolah, jika sesuatu berlaku di rumah, mereka tidak ingin menyentuh tentang apa-apa yang berlaku di rumah," ujarnya.



Untuk memudahkan sesi soal jawab itu juga, pegawai penyiasat akan menggunakan boneka untuk membantu kanak-kanak menceritakan apa yang dialami, tambah Cik Norain.



Kelmarin, Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, telah mengumumkan beberapa langkah semakan baru terhadap keupayaan polis dalam mengendalikan jenayah seksual.



Ini termasuk memperhalusi latihan bagi kakitangannya supaya mereka berupaya bertindak dengan lebih baik terhadap kes-kes tersebut.



Langkah lain yang diumumkan termasuk pembentukan unit polis baru - Komand Jenayah Seksual dan Keganasan Keluarga - yang bakal beroperasi tahun depan dan dikhaskan bagi menyiasat semua kes jenayah seksual dan keganasan keluarga bagi memastikan mangsa diberi bantuan dan sokongan yang lebih tertumpu.



SPF juga akan mengukuhkan lagi kerjasama dengan rakan kongsi masyarakat lain.



Antaranya termasuk mewujudkan kerjasama dengan pusat pakar keganasan keluarga untuk memberi mangsa lebih banyak bantuan yang diperlukan.



Mereka akan dirujuk kepada Care Corner Project StART (CCPS) yang memberikan bantuan seperti kaunseling bagi mangsa keganasan.



Ketua pekerja sosial di CCPS, Cik Kristine Lam, berkata kerjasama dengan polis itu tidak akan mengubah khidmat yang ditawarkan kepada mangsa, tetapi akan membuka akses kepada lebih ramai mangsa kerana biasanya mereka akan membuat laporan polis dahulu.



"Perbezaan utama adalah khidmat yang kami sediakan kini lebih bersifat segera, supaya mereka tidak perlu menunggu berbulan lama sebelum mendapatkan bantuan- antara satu hingga tiga hari," katanya.



Kaunselor yang berkhidmat secara sukarela sebagai pegawai penjagaan mangsa di bawah program Victim Care Cadre SPF itu menambah bahawa program tersebut memberi ruang kepada mangsa untuk meluahkan perasaan mereka dan mendapatkan maklumat mengenai sumber-sumber yang diperlukan.



Namun, ini biasanya akan dilakukan dalam satu sesi selepas rujukan pakar psikologi polis, dan akan diulang hanya jika mangsa meminta diadakan lebih banyak sesi, katanya.



"Ini berbanding dengan CCPS, yang secara amnya merupakan agensi khidmat sosial yang mempunyai pengkhususan dalam bidang ini.



"Mereka juga menyediakan program intervensi bagi mangsa untuk jangka masa panjang. Untuk itu ini bermakna mereka tidak hanya bertemu sekali, tapi mempunyai lebih banyak sesi bersama," ujarnya.




LANGKAH-LANGKAH SOKONGAN BAGI MANGSA JENAYAH SEKSUAL



Selain memperkenal perubahan perundangan, Pasukan Polis Singapura (SPF) juga telah menguatkuasakan langkah dan inisiatif bagi membantu mangsa jenayah seksual semasa siasatan dijalankan.



1. Model temu ramah pelbagai disiplin bagi kanak-kanak yang terlibat dalam kes dera seksual yang dilakukan anggota keluarga.



- Pada 2018, model temu ramah pelbagai disiplin itu dikuatkuasakan di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH) bagi mangsa kanak-kanak. Temu ramah oleh pihak berbeza - pegawai polis, pegawai Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dan doktor - digabungkan dalam satu temu ramah.



2. Pusat Pemeriksaan Forensik Penganiayaan Sehenti (OneSAFE) yang terletak di Komplex Polis Cantonment menawarkan kemudahan dan privasi kepada mangsa - membolehkan mereka bercakap dengan Pegawai Jagaan Mangsa dan pihak Polis serta menjalani pemeriksaan perubatan forensik di pusat tersebut.



3. Program Victim Care Cadre yang bermula pada 2014 menawarkan sokongan emosi kepada mangsa melalui sukarelawan terlatih yang memiliki kelayakan dan pengalaman dan bidang psikologi, kaunseling atau kerja sosial.



4. Latihan sensitiviti bagi pegawai polis. Pegawai penyiasat yang mengendalikan kes jenayah seksual juga dilatih cara terbaik berurusan dengan mangsa untuk mengurangkan trauma yang dialami.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >