SEORANG pegawai tetap Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) telah meninggal dunia di Brunei selepas dihempap dahan pokok.
Pegawai Waran Ketiga (3WO) Muhammad Sadikin Hasban, 33 tahun, seorang penolong ketua pelatih kompeni, sedang menyelia kontraktor yang melakukan kerja-kerja penyenggaraan di tapak evakuasi helikopter di Brunei pada Selasa (9 Oktober) apabila insiden itu berlaku.
Pegawai lain cuba menyedarkan Allahyarham Muhammad Sadikin di tempat kejadian, dan dalam perjalanan ke hospital, menurut laporan The Straits Times.
Namun, doktor mengesahkan Allahyarham meninggal dunia di hospital sekitar 11.50 pagi.
Kementerian Pertahanan (MINDEF) telah menguruskan untuk menerbangkan ahli keluarga Allahyarham ke Brunei. Jenazahnya akan diterbangkan pulang ke Singapura pada Rabu (10 Oktober) dalam pesawat tentera.
Menurut MINDEF, SAF sedang memberi bantuan kepada keluarga Allahyarham pada saat sedih ini dan sedang menyiasat insiden itu.
Mindef dan SAF mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.