Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:28
Maghrib
7:08
Isyak
8:23

Peguam giat dalam pelbagai kerja sukarela di S'pura, luar negara

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Setempat
27
0

PERSONALITI

Peguam giat dalam pelbagai kerja sukarela di S'pura, luar negara

Aug 12, 2018 | 05:30 AM

PINTU hati Cik Nadia Ahmad Samdin mula terbuka pada dunia sukarelawan selepas beliau bersama teman sebaya menghasilkan filem-filem sosial mengenai perpaduan kaum dan bahaya perjudian di kejiranannya pada usia 15 tahun.

Peluang mencorak nilai dan gaya hidup masyarakat membuat hatinya terus terpaut untuk menabur jasa.

Kini, pada usia 28 tahun, diari kehidupannya sarat dengan pelbagai penglibatan sosial - daripada membimbing pelajar dan belia, mengatur program bagi latihan pekerja dan pengembangan budaya hinggalah kepada aktiviti menyelam di dasar laut untuk mengeluarkan kotoran sisa.

Ditanya bagaimana beliau dapat meluangkan masa di sebalik kesibukannya sebagai seorang peguam korporat di sebuah syarikat guaman swasta, Cik Nadia, yang baru mendirikan mahligai bersama seorang usahawan, berkata:

"Jika kita ghairah tentang sesuatu, kita boleh jadikannya gaya hidup, sehingga kita rasa tidak dapat tidur lena jika tidak lakukan apa-apa.''

Di peringkat kebangsaan, Cik Nadia berkhidmat sebagai anggota Majlis Pembangunan Masyarakat South East (SECDC).

Bekas pelajar Katong Convent dan Maktab Rendah Victoria yang meraih ijazah undang-undang daripada Universiti Pengurusan Singapura (SMU) itu merupakan anggota termuda majlis perbandaran itu apabila mula dilantik pada 2014.

Beliau juga anggota lembaga pengarah Majlis Belia Kebangsaan (NYC) dan anggota jawatankuasa kecil Majlis Perwakilan Wanita Singapura (SCWO).

Antara 10 dan 22 Ogos ini, beliau akan menyertai delegasi Singapura ke persidangan Kumpulan 20 (G20) bagi pemimpin muda di Cordoba, Argentina.

Sidang berprestij itu mengumpulkan pemimpin muda yang berpengaruh untuk membincang dan mencari huraian bagi masalah global.

Senarai penglibatannya tidak terhenti di situ.

Cik Nadia juga aktif dalam badan Melayu antara lain sebagai anggota lembaga pengarah Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM) dan Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS).

Sumbangan lain termasuk sebagai anggota Unit Sedia Masa Depan Yayasan Mendaki yang membantu pekerja Melayu/Islam bersiap sedia menghadapi perubahan di pasaran kerja.

Baru-baru ini, beliau dilantik sebagai anggota Jawatankuasa Penasihat Program bagi Wisma Geylang Serai yang dibentuk bagi menyemarak kegiatan di pusat budaya itu.

Pada masa lapangnya, Cik Nadia, yang memiliki Sijil Menyelam Laut Terbuka Peringkat Lanjutan, menyertai pasukan Our Singapore Reefs yang giat dalam kerja-kerja pemulihan laut di perairan Singapura.

Dari masa ke masa, kebolehan menyelam itu dimanfaatkan dengan membersih batu karang dan kotoran sisa di perairan Singapura seperti di Pulau Lazarus.

Bagaimanapun, usaha mencurah bakti tidak terbatas pada masyarakat setempat semata-mata.

Setahun sekali sepanjang lapan tahun lalu, Cik Nadia turut menyumbang tenaga kepada sebuah badan tidak mencari untung (NGO) di utara Thailand yang membantu meningkat mutu hidup penduduk kampung di kawasan bukit-bukau di situ.

Malah, anak sulung keluarga dua beradik itu turut memberi sentuhan peribadi apabila mengambil dua keluarga di situ sebagai keluarga angkat yang diziarah dari masa ke masa.

"Saya rasa diri diberkati apabila didedahkan kepada pengalaman di luar negara seperti ini, melihat budaya asing, cara hidup mereka.

"Walapun kehidupan mereka berbeza daripada kita, hakikatnya ialah kita berkongsi nilai teras yang sama - keluarga, identiti dan agama,'' kata beliau, anak seorang pesara dan suri rumah.

Sebagai mengiktiraf kejayaan kerjaya dan sumbangannya kepada masyarakat, Cik Nadia baru-baru ini dinobatkan sebagai antara bintang yang menyerlah dalam kalangan alumni SMU.

"Teman sukarelawan pernah mengusik bahawa saya layak mendapat pingat khidmat setia kerana lama berkhidmat. Saya ketawakan saja.

"Asalkan saya dapat akhiri hari-hari dengan lebih baik daripada sebelumnya, saya akan berasa gembira.

"Jika saya dapat lakukan sesuatu yang meninggalkan kesan ke atas seorang pun, saya akan terus melakukannya,'' katanya.



"Teman sukarelawan pernah mengusik bahawa saya layak mendapat pingat khidmat setia kerana lama berkhidmat. Saya ketawakan saja. Asalkan saya dapat akhiri hari-hari dengan lebih baik daripada sebelumnya, saya akan berasa gembira.
Jika saya dapat lakukan sesuatu yang meninggalkan kesan ke atas seorang pun, saya akan terus melakukannya."

- Cik Nadia Ahmad Samdin, yang merupakan antara anggota delegasi S'pura ke sidang G20 bagi pemimpin muda pada bulan ini.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3