Peguam muda Melayu gembleng tenaga bicarakan isu penipuan

SEKUMPULAN peguam muda Melayu dari firma guaman awam dan korporat, syarikat berbilang negara (MNC) dan bank, menggembleng tenaga bagi menangani isu kemasyarakatan menerusi satu siri ceramah.

Ceramah pertama di bawah program Shiok! Professionals Community Action: Tipah Tertipu! Scams and The Law, anjuran Majlis Penyelaras Kumpulan Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (Mesra) dan MAEC Sembawang berlangsung di Kelab Masyarakat Woodlands Galaxy, semalam.

Ia fokus pada penipuan yang biasa melanda orang awam dan langkah huraian dan pencegahan yang boleh diambil.

Kerjasama peguam muda dengan Mesra itu adalah bagi menyahut usulan Menteri Sekitaran dan Sumber Air merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, agar lebih ramai karyawan membantu membangun hubungan lebih meluas dan akrab dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam.

Hadir selaku tetamu terhormat di ceramah semalam adalah Setiausaha Parlimen Kanan (Ehwal Dalam Negeri merangkap Kesihatan), Encik Amrin Amin.

Beliau membuka tirai majlis dengan berkongsi kes penipuan yang berlaku di Singapura.

Mengikut perangkaan yang ditukil, bilangan kes penipuan yang dilaporkan bertambah sebanyak 150 peratus - daripada 5,687 kes kepada 8,566 kes dalam tempoh tiga tahun, antara 2014 dengan 2017.

Bagi enam bulan pertama tahun ini pula, bilangannya bertambah sebanyak 23 peratus, berbanding enam bulan pertama tahun lalu.

Mengulas acara itu, Encik Amrin, yang mencetuskan idea menyatukan lebih 20 peguam muda, Oktober lalu, berkata:

"Saya gembira kita mendapat sumbangan anak muda yang berpengetahuan dalam bidang guaman dan sama-sama prihatin serta sudi meluangkan masa membincangkan isu masyarakat."

Menjelaskan mengapa isu penipuan menjadi teras siri ceramah mereka, salah seorang daripada 10 peguam yang terlibat dalam program ini, Cik Fathiah Najwa Hassim, 27 tahun, berkata:

"Kami memilih penipuan kerana prihatin bahawa ia seringkali melibatkan golongan wanita Melayu pertengahan usia dan usia senja.

"Kami harap dengan adanya ceramah ini, ia bukan hanya memberi mereka kesedaran malah keterangan ini juga boleh dikongsi dengan rakan mereka yang lain."

Seramai 50 penduduk di kawasan kejiranan GRC Sembawang hadir di sesi ceramah tersebut. Sketsa pelawak tempatan, Bonda Bedah dan Mak Temah turut dipersembahkan.

Antara soalan yang diajukan hadirin termasuk kes penipuan syarikat ubah elok rumah dan promosi ganjaran dalam talian yang berleluasa.

Dengan adanya program sebegini, peguam, Encik Muhd Danial Hakim Rosli, 27 tahun, mengharapkan agar masyarakat Melayu tahu hak mereka dan memanfaatkan ilmu yang diraih sebaiknya agar tidak mudah diperdaya.