PEKERJA migran Muslim dapat mendirikan solat berjemaah di dormitori mereka sepanjang Ramadan, iaitu dari 13 April hingga 12 Mei.
Dormitori akan dibenarkan mengadakan dua sesi solat berjemaah untuk hingga 200 orang, bergantung pada saiz dan ketersediaan kawasan di setiap lokasi, kata Kementerian Tenaga Manusia (MOM) semalam.
Solat berjemaah akan diadakan bagi solat tarawih dan solat Hari Raya pada 12 Mei.
Sementara itu, usaha vaksinasi yang sedang dijalankan untuk pekerja migran akan diteruskan.
Masa vaksinasi akan dilanjutkan ke 10 malam dalam Ramadan bagi membolehkan pekerja Muslim berbuka puasa sebelum menerima suntikan mereka, ujar MOM.
"Vaksinasi tidak membatalkan puasa, dan pekerja migran digalak mengambil vaksin Covid-19 itu apabila mereka diberi kesempatan melakukannya," kata kementerian itu.
Usaha memvaksinasi pekerja migran Singapura kini dalam fasa kedua, dengan sekitar 30,000 pekerja di 30 dormitori dijadualkan mendapatkan suntikan mereka dalam masa beberapa minggu akan datang.
Fasa pertama usaha itu Mac lalu melihat sekitar 9,000 pekerja layak menerima dos pertama vaksin mereka.
Mengenai solat berjemaah di dormitori pengendali dormitori boleh memohon melalui Kumpulan Keyakinan, Penjagaan dan Pelibatan (Ace) untuk menganjurkannya.
Kumpulan Ace bekerjasama dengan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) untuk membolehkan solat berjemaah diadakan, kata MOM.
"Sesi solat berjemaah ini dapat dijalankan di lokasi yang sesuai dalam dormitori (contohnya, dewan serbaguna atau bilik umum) dengan langkah jarak selamat yang diperlukan," kata MOM.
Dormitori boleh mencalonkan penghuninya untuk disahkan sebagai imam oleh Muis.
Pengaturan alternatif akan disediakan bagi mereka yang tidak dapat menghadiri solat berjemaah itu.
Sebilangan besar pekerja migran Singapura berasal dari Bangladesh, yang 86.6 peratus penduduknya beragama Islam.
"MOM akan terus bekerjasama dengan pengendali dormitori dan majikan untuk memenuhi keperluan pekerja migran Muslim dalam bulan Ramadan sambil memastikan kepatuhan pada langkah-langkah yang diperlukan bagi menangani risiko yang ditimbulkan oleh Covid-19," tambah kementerian itu.
"MOM akan terus bekerjasama dengan pengendali dormitori dan majikan untuk memenuhi keperluan pekerja migran Muslim dalam bulan Ramadan sambil memastikan kepatuhan pada langkah-langkah yang diperlukan bagi menangani risiko yang ditimbulkan oleh Covid-19."
- Kementerian Tenaga Manusia (MOM).