KELOMPOK pekerja asing yang sebelum ini menetap di kemudahan perumahan sementara di Bukit Merah sudah kembali ke dormitori masing-masing.
Kumpulan terakhir pekerja ini berpindah dari blok Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di Redhill Close pada pagi Rabu (30 Disember) selepas menetap di situ sejak April.
"Sedang kita beralih ke Fasa 3 pembukaan semula ekonomi Singapura secara selamat, keperluan menempatkan pekerja asing yang sihat secara sementara di Redhill juga tamat," ujar Anggota Parlimen dan aktivis gerakan buruh, Encik Melvin Yong, di Facebook.
Sebanyak 31 blok HDB di Redhill Close menempatkan pekerja asing yang sihat dan digajikan di khidmat penting seperti sektor pembersihan dan penyenggaraan.
Mereka dipindahkan ke situ sedang penularan koronavirus di dormitori pekerja asing menjadi keprihatinan awal tahun ini.
Kawasan Redhill Close adalah salah satu daripada 36 hartanah milik negara yang diubah sebagai penginapan sementara buat pekerja asing.