PIHAK berkuasa sedang menyiasat kematian seorang pekerja binaan warga Bangladesh yang terbunuh apabila baldi sebuah pengorek tertanggal dan menimpanya.
Kemalangan itu berlaku semasa Encik Hasan Kazi, 26 tahun, bekerja di tapak stesen MRT Great World, sebahagian daripada Laluan Thomson-East Coast, pada kira-kira 05.30 petang Sabtu lepas.
Beliau dikejarkan ke Hospital Besar Singapura (SGH) tetapi disahkan meninggal dunia apabila tiba.
Kementerian Tenaga Manusia (MOM) berkata pegawai Merinyu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan respons dengan segera dan sedang menyiasat kejadian itu.
Jurucakap MOM berkata dapatan awal menunjukkan mangsa sedang bertugas "mengarahkan jentolak di tapak kerja itu apabila baldi pengorek tertanggal dan terkenanya".
Beliau menambah bahawa kontraktor terlibat telah diarah menghentikan penggunaan pengorek di tapak kerja itu.
Belum diketahui bagaimana baldi pengorek tersebut tertanggal.
Jurucakap Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) berkata: "LTA amat sedih atas kehilangan jiwa itu. Kami akan bekerjasama dengan kontraktor untuk membantu ahli keluarga pekerja yang meninggal itu."
Tapak River Valley Green itu dikendalikan Tiong Seng Dongah Joint Venture, syarikat usahasama Tiong Seng Contractors dari Singapura dan Dongah Geological Engineering dari Korea Selatan yang diberikan kontrak $316 juta membina stesen tersebut dan terowongnya.
Laluan Thomson-East Coast ialah dari Woodlands ke Gardens by the Bay.