Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Pekerja bebas media harap dilindungi

Apr 30, 2017 | 05:30 AM



Pekerja bebas kian menjadi lumrah dalam pasaran pekerjaan ekonomi baru. Dianggarkan jumlah pekerja bebas di Singapura kini sekitar 200,000 pekerja dan jumlah tersebut dijangka terus meningkat. Sehubungan itu, gerakan buruh juga telah mengorak langkah agar menyediakan wadah bagi membantu perkembangan kerjaya selain membantu pekerja bebas dalam hak pekerjaan mereka. Sempena Hari Pekerja esok, Berita Minggu meninjau cabaran yang dihadapi pekerja bebas dalam industri penuh glamor - industri televisyen setempat. Laporan oleh SHAHIDA SARHID (sshahida@sph.com.sg) dan NUR FATHIN AWALLUDIN (nfathin@sph.com.sg).



ANUGERAH yang mengiktiraf bakat terbaik dalam industri penerbitan televisyen tanah air - daripada kru di balik tabir hinggalah artis yang mewarnai kaca televisyen - diadakan dengan penuh meriah dan gah baru-baru ini.



Namun, di sebalik warna-warni dan glamor dunia televisyen itu, terpalit masalah yang telah berlarutan sejak sekian lama, yang membelenggu bakat pekerja bebas yang merupakan sebahagian besar tenaga kerja industri tersebut.



Masalah itu berkaitan pembayaran yang lewat - ada sehingga bertahun tertunggak - bagi khidmat yang diberikan untuk menjayakan rancangan televisyen.



Ia menjejas segenap lapisan tenaga kerja merangkumi kru penggambaran, penulis skrip, pereka gaya dan artis sendiri, menurut sekumpulan pekerja bebas itu kepada Berita Minggu (BM).



Salah seorang daripada mereka, yang hanya ingin dikenali sebagai Encik Hafiz, berkata beliau masih lagi menantikan sejumlah $17,000 daripada sebuah syarikat penerbitan setempat.



Menurut ketua pencahayaan lampu penggambaran yang bekerja secara bebas itu, jumlah tersebut merupakan bayaran tertunggak untuk tugas yang dilakukan bagi sebuah drama Melayu yang sudahpun tamat disiarkan sekitar dua bulan lalu.



Ini bukan kali pertama. Dahulu juga, Encik Hafiz, 32 tahun, pernah terpaksa menunggu lebih setahun bagi bayaran $12,000.



"Saya yakin mereka akan bayar. Tetapi berapa lama saya harus tunggu? Saya sampai beritahu syarikat itu saya sanggup terima bayaran ansuran. Dan syarikat ini bukan syarikat 'biasa-biasa' tetapi yang dikenali dengan mutu penerbitannya dan telah banyak memenangi anugerah Pesta Perdana," ujarnya.



Pekerja bebas seperti Encik Hafiz akan menjadi sumber penting landskap tenaga kerja setempat dalam sekitaran ekonomi baru.



Dalam bahas belanjawan baru-baru ini, Menteri Tenaga Manusia Lim Swee Say berkata kementeriannya bersama rakan kongsi termasuk gerakan buruh, sedang berusaha gigih memastikan hak pekerjaan pekerja bebas dipelihara.



Menurut Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), terdapat sekitar 200,000 pekerja bebas di Singapura dan jumlah itu dijangka terus meningkat.



Jumlah pekerja bebas dalam industri penerbitan tidak dapat dipastikan.



Sementara itu, sumber industri memberitahu BH, masalah pembayaran lewat itu disebabkan syarikat penerbitan yang gagal membayar mereka bagi khidmat yang diberikan.



"Masalahnya bukan stesen televisyen kerana mereka ada jadual pembayaran bertahap. Masalahnya ialah syarikat penerbitan," ujar beliau, yang enggan namanya disiarkan kerana penglibatan dekat dirinya dalam industri televisyen setempat.



Para pemilik syarikat penerbitan setempat yang dihubungi BH akur dengan masalah tersebut.



Pengarah Eksekutif Shortman Films Pte Ltd, Encik Shafie Mustafa, berkata secara terus terang bahawa masalah itu berpunca daripada isu pengurusan dana syarikat setempat.



Malah, masalah tersebut begitu meruncing sehinggakan sesetengah pekerja bebas seperti penata gaya dan jurumekap, Encik Rafil Kamaruddin, menganggapnya sebagai lumrah.



Encik Rafil, 35 tahun, pernah menanti sehingga enam bulan untuk menerima bayaran $7,000 bagi khidmatnya.



"Sampai segan saya dibuatnya apabila perlu sering mengingatkan pemilik syarikat penerbitan itu tentang bayaran kami, walhal itu sebenarnya merupakan gaji hasil titik peluh kami.



"Industri kita kecil, jadi sebagai pekerja bebas kami tidak mahu bertindak terlalu keras atau dilabel 'pekerja sukar' untuk bekerja kerana khuatir khidmat kami tidak akan digunakan lagi pada masa depan.



"Bagaimanapun, pada masa yang sama, kami juga perlu menuntut hak kita," ujarnya.



Juruaudio, Encik Nizlan Sani, 36 tahun, yang menjadi pekerja bebas sepenuh masa sejak 2011, berkata beliau pernah "disenarai hitam" syarikat penerbitan tempatan kerana mengenakan yuran bayaran lewat.



"Meskipun ada kontrak hitam putih, syarikat penerbitan itu tetap lambat bayar.



"Seperti kita sedia maklum, kos kehidupan di Singapura tinggi. Setiap bulan ada bil yang perlu dilunaskan.



"Jadi jika syarikat penerbitan menangguh pembayaran, saya rasa tidak salah yuran bayaran lambat ini dikenakan," ujarnya yang mempunyai pengalaman luas termasuk pernah menjadi juruaudio bebas bagi sebuah syarikat penerbitan Perancis.



Masalah bayaran lewat itu tidak hanya menjejas kru di balik tabir, malah turut membelenggu bakat di depan kamera.



Pelakon tempatan, Ateeqah Mazlan, menceritakan beliau terpaksa meminta bantuan suaminya menuntut bayaran bagi diri beliau secara keras dengan sebuah syarikat penerbitan, meskipun tahu ia akan menjejas peluangnya diambil berlakon oleh syarikat tersebut pada masa depan.



"Saya rasa tertekan ketika itu kerana jumlah yang mereka berhutang agak besar bagi saya, dan lagipun sudah nak Hari Raya.



"Jadi saya memang perlu gunakan wang," kata ibu anak satu itu.



Penulis skrip mapan, Cik Haryani Othman, 39 tahun, yang telah merasakan asam garam mencari rezeki dalam industri televisyen setempat, juga akur akan masalah tersebut.



Menurutnya, beliau menyedari adanya usaha gerakan buruh mahu menyatukan pekerja bebas seperti mereka.



Bagaimanapun, beliau kurang pasti sama ada ia dapat membantu memandangkan "industri televisyen Melayu setempat terlalu kecil".



"Bagi saya, kita sendiri perlu jaga diri, jangan kasi syarikat penerbitan buli kita.



"Apa juga projek yang kita lakukan, perlu ada kontrak, perlu ada hitam putih, supaya sekiranya ada masalah kelak, kita boleh ambil tindakan jika perlu," tegasnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >