Pekerja bunuh, rompak penyelia; hasil curi dibuat hantaran nikah

Seorang pembantu pembersihan warga Malaysia, Ahmad Muin Yaacob, 26 tahun, dituduh membunuh penyelianya yang berusia 54 tahun dan boleh dihukum mati jika dia didapati bersalah.

Pada 24 November 2016, seorang penyelia pembantu pembersihan di Terminal Feri Tanah Merah, Cik Maimunah Awang, 54 tahun dibunuh akibat ditikam dengan menggunakan sepucuk pemotong rumput oleh Ahmad Muin serta dipukul kepalanya sehingga Allahyarhamah tidak sedarkan diri.

Pembunuhan kejam itu berlaku di dalam bilik stor. Setelah membunuh Cik Maimunah, Ahmad mencuri barang kemasnya dan membuang mayatnya ke dalam longkang yang berdekatan. Dia terus melarikan diri ke Malaysia.

Setibanya di Johor, Ahmad menjual barang kemas yang dicuri itu dan berjaya mendapatkan wang sebanyak RM 9554 ($ 3180) di mana sebahagiannya digunakan membayar wang hantaran sebanyak RM 6000 ($ 2000) dan yang lain digunakan untuk berjudi.

Dia ditangkap Polis Malaysia pada 18 Disember 2016 dan dibawa ke Singapura pada hari keesokannya.

Pihak pendakwa memberi hujah bahawa Ahmad Muin memerlukan wang untuk membiayai perkahwinannya dan dia telah mengambil peluang menjadikan Cik Maimunah sebagai mangsanya ketika mereka bersendirian di dalam bilik stor.

"Ahmad Muin membalas kebaikkan (Cik Maimunah) dengan tumpahan darah," kata Timbalan Pendakwa Raya Mohamed Faizal Mohamed Abdul Kadir kepada Mahkamah Tinggi pada hari Selasa (17 September).

Menurut Straits Times, Cik Maimunah dikenali sebagai seorang pembantu pembersih yang baik hati.