PEKERJA migran tidak didiskriminasi dan boleh menggunakan mana-mana ruang solat - sama ada di masjid atau ruang tambahan di dormitori serta estet perumahan - untuk solat Hari Raya mereka minggu ini, jelas Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dalam satu kenyataan pada Isnin.
Kenyataan itu dibuat sehari selepas satu nota penasihat Persatuan Bangladesh Singapura (SBS) tular di media sosial.
Dalam nota yang ditujukan kepada pekerja Islam Bangladesh, SBS berkata Muis meminta mereka menunaikan solat Hari Raya Aidilfitri pada 22 April di dormitori masing-masing.
Jelas nota itu lagi, ini akan membantu dalam mengelakkan kesesakan di masjid dan kesesakan jalan raya serta memastikan kesihatan dan keselamatan semua orang.
Nota itu, yang ditandatangani oleh SBS bagi pihak Muis, mula diedarkan pada petang Ahad dan kebanyakannya menerima komen negatif dalam talian.
Seorang pengguna di Twitter berkata: "Ini benar-benar tidak masuk akal. Ramai daripada pekerja migran ini menawarkan diri untuk menjalankan kerja-kerja semasa hari cuti berharga mereka di banyak masjid, serta membuat sumbangan derma daripada gaji mereka."
Seorang lagi warganet menawarkan beberapa cadangan seperti "Bolehkah urusan alternatif dibuat? Pengangkutan untuk pastikan mereka tidak tertumpu pada satu kawasan? Dana untuk menampung ruang tambahan di lokasi terpilih?"
Muis, dalam penjelasannya, akur pada sumbangan pekerja migran di masjid tempatan dan menjelaskan bahawa mereka "tidak pernah diasingkan".
Badan agama itu juga prihatin pada kekecewaan dan kemarahan masyarakat terhadap cara pekerja migran dihadkan untuk melakukan solat Hari Raya di dormitori mereka.
Ia menambah bahawa nota pekeliling oleh SBS itu tidak termasuk aturan penuh yang Muis, rakan kongsinya dan masjid telah ambil untuk menyediakan jemaah tempatan dan luar negara dengan pengalaman bersolat yang selesa dan selamat.
"Kami telah menambah lebih daripada tiga kali ganda bilangan ruang solat di dormitori yang surat SBS telah ketengahkan, kepada pekerja migran Muslim ini.
"Kami juga telah memperkenalkan lebih 20 tempat tambahan untuk menampung 10,000 ruang tambahan di estet perumahan di serata pulau," kata kenyataan Muis sambil menambah terdapat 240,000 ruang solat di masjid setempat.
"Pendek kata, kami menyediakan ruang tambahan ini kepada penduduk tempatan dan pekerja migran dengan masing-masing akan mempunyai imam yang akan menyampaikan khutbah dan memimpin solat," kata Muis.
Selain itu, Muis menegaskan bahawa banyak masjid di sini mempunyai kelas dalam bahasa Benggali dan akan menganjurkan solat Hari Raya dengan khutbah Benggali minggu ini, untuk memenuhi keperluan kumpulan pekerja asing.
"Kami kesal kerana kata-kata dalam nota pekeliling SBS itu tidak menyediakan skop penuh aturan yang dibuat untuk pekerja migran kita, dan berharap kenyataan ini dapat menjelaskan duduk perkara," kata Muis.
Pada Khamis, Muis mengumumkan rancangannya menambah sesi solat Aidilfitri di masjid serata Singapura.
Dari sejumlah 68 masjid, 12 masjid akan menawarkan tiga sesi, manakala 51 masjid akan menyediakan dua sesi. Lima masjid akan menawarkan satu sesi yang bermula pada 8.45 pagi.
Sebagai tambahan, 20 ruang tambahan akan disediakan untuk solat Aidilfitri. Lokasinya akan diumumkan minggu ini.