PEKERJA asing dari India akan dibawa masuk ke Singapura dalam "skala kecil" dan dalam cara yang berhati-hati bulan ini menerusi program perintis yang diterajui sektor pembinaan, marin dan proses (CMP).
Jika berjaya, cara ini akan digunakan untuk mengendalikan kemasukan pekerja migran secara selamat, kata persatuan yang menerajui sektor itu dalam kenyataan bersama semalam.
Persatuannya adalah Persatuan Kontraktor Singapura, Persatuan Industri Marin Singapura dan Persatuan Industri Proses.
Sejak Covid-19 melanda, sektor CMP telah terjejas teruk oleh sekatan ke atas kemasukan pekerja asing.
Kini, mereka yang mempunyai sejarah perjalanan baru-baru ini ke Bangladesh, Nepal, Pakistan, Sri Lanka dan India tidak dibenarkan masuk ke Singapura di bawah sekatan sempadan yang dipertingkat.
Salah satu kes Covid-19 yang dilaporkan kelmarin adalah dari dormitori, kes pertama yang dilaporkan sejak 14 Jun.
Kes itu kini tiada kaitan, kata Kementerian Kesihatan (MOH).
Lagi satu kes yang tular dalam masyarakat kelmarin juga tiada kaitan.
Terdapat lapan kes diimport.
Tujuh dikesan setibanya di Singapura, sementara lagi satu menghidapi Covid-19 sewaktu notis jangan keluar rumah (SHN) atau pengasingan.
Secara keseluruhan, 10 kes baru dilaporkan kelmarin.
MOH juga menutup dua kelompok, termasuk satu yang mempunyai kaitan dengan Atatcutz Singapore, kedai gunting rambut di Bedok.
Sehingga kelmarin, terdapat 22 kelompok aktif, dengan setiap daripadanya mempunyai tiga hingga 93 jangkitan.
Seramai 99 pesakit Covid-19 berada di hospital.
Kebanyakan daripada mereka dalam keadaan baik dan di bawah pantauan, tetapi lapan memerlukan oksigen dan tiga berada dalam keadaan kritikal di unit penjagaan intensif.
Sepanjang sekitar 28 hari lalu, seramai 23 kes tempatan memerlukan bantuan oksigen, dimasukkan ke unit penjagaan intensif, atau meninggal dunia.
Daripada ini, 20 tidak divaksin dan tiga belum divaksin sepenuhnya.
Sejauh ini, sekitar 5.8 juta dos vaksin Covid-19 telah diberikan, dan sekitar 2.2 juta orang telah menerima dos kedua vaksin mereka, kata MOH dalam satu kemaskini mengenai program vaksinasi nasional.
Secara keseluruhan, jumlah kes baru dalam masyarakat telah menurun dari 76 dua minggu lalu kepada 24 minggu lalu.
Jumlah kes tiada kaitan dalam masyarakat juga telah merosot dari 11 dua minggu lalu kepada lima minggu lalu.
Singapura telah mempunyai 36 kematian akibat komplikasi Covid-19, sementara 15 yang diuji positif meninggal dunia atas sebab lain.