SEORANG pekerja migran telah didakwa di mahkamah semalam, atas melakukan serangan maut ke atas seorang lelaki dengan menggunakan papan kayu yang dicucuk dengan paku pada hari pertama Tahun Baru kelmarin.
Paneer Vetrivel, 26 tahun, seorang warga India, didakwa atas kesalahan menyebabkan kecederaan secara sukarela dengan senjata berbahaya dalam satu prosiding istimewa di Mahkamah Sebutan Jenayah semalam, lapor akhbar The Straits Times (ST).
Antara 1 dengan 1.25 pagi kelmarin, Paneer dipercayai telah memukul Encik Rajendran Shanmugasundran, 37 tahun, dengan papan itu dekat 20 Woodlands Industrial Park E1.
Polis menyatakan kelmarin bahawa dua lelaki itu terlibat dalam satu pertengkaran di sebuah dormitori di Woodlands Industrial Park.
Pegawai polis diberitahu tentang pertengkaran itu pada sekitar 1.25 pagi.
Mereka menemui Encik Rajendran terbaring di lantai dan tidak sedarkan diri dengan kecederaan di kepalanya.
Encik Rajendran kemudian dibawa ke hospital dan beliau disahkan meninggal dunia.
Paneer pula diberkas dan direman untuk siasatan lanjut.
Kesnya akan dikemukakan lagi di mahkamah pada 7 Januari.
Jika disabit kesalahan kerana menyebabkan kecederaan teruk dengan senjata berbahaya, Paneer boleh dipenjara seumur hidup dan dirotan, atau dipenjara sehingga 15 tahun, dirotan dan didenda.