SEORANG pekerja pembersihan berusia 50 tahun, Mohd Fuad Othman, dijatuhi hukuman penjara 14 bulan pada Khamis (12 Nov) kerana mencabul kehormatan wanita dalam bas awam.
Dia mengaku bersalah bagi dua pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah untuk mencabul kehormatan.
Satu pertuduhan sama diambil kira semasa hukuman dijatuhkan.
Dalam satu kes, mahkamah diberitahu pada kira-kira 4.15 petang pada 27 September lalu, Fuad menaiki bas SBS nombor 16 dan duduk di sebelah seorang wanita berusia 21 tahun, sambil meletak begnya di atas ribanya.
Sepanjang perjalanan, dia berterusan mendekatkan dirinya kepada wanita tersebut. Dia mengenakan bahunya dengan bahu beliau, dan tangannya juga menyentuh tangan wanita itu.
Fuad juga menggunakan tangannya, yang disembunyikan di bawah begnya, untuk menyentuh paha wanita tersebut.
Wanita itu mengambil gambar Fuad menggunakan telefon bimbitnya dan membuat laporan polis.
Fuad melakukan perkara serupa esoknya ke atas seorang wanita berusia 35 tahun dalam bas SMRT nombor 854 dan terhadap seorang wanita berusia 20 tahun pada 12 JUlai dalam bas SBS nombor 70.
Dia ditangkap pada 30 September dan mengaku kepada polis.
Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Tan Soo Tet memberitahu mahkamah Fuad dibebaskan dari penjara awal tahun ini bagi kesalahan sama di dalam bas awam.