Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Pekerja platform dalam talian bakal dapat CPF, perlindungan kewangan

Jawatankuasa Penasihat bagi Pekerja Platform kemuka 12 saranan yang sudah diterima pemerintah
Nov 24, 2022 | 05:30 AM



SYARIKAT dan pekerja platform dalam talian perlu membuat sumbangan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) pada kadar sama seperti majikan dan pekerja lain, dengan sumbangan itu mandatori bagi pekerja platform di bawah usia 30 tahun.



Ini demi memastikan pekerja platform mempunyai simpanan mencukupi bagi keperluan perumahan dan persaraan mereka.



Dalam pada itu, untuk memastikan terdapat perlindungan kewangan sekiranya kecederaan berlaku semasa bekerja, syarikat platform harus menyediakan skop dan tahap pampasan kecederaan kerja yang sama seperti hak pekerja di bawah Akta Pampasan Kecederaan Kerja (Wica).



Ini adalah antara 12 saranan yang dikemukakan Jawatankuasa Penasihat bagi Pekerja Platform dalam satu laporan 58 halaman yang dikeluarkan semalam menyusuli pendekatan dan pertimbangan selepas lebih setahun.



Saranan tersebut bertujuan memastikan pekerja platform mempunyai perlindungan kewangan mencukupi sekiranya kecederaan kerja berlaku, mempertingkat kecukupan persaraan dan perumahan, dan mempertingkat perwakilan untuk golongan itu.



Pemerintah telah menerima saranan tersebut dan bercadang melaksanakannya mulai lewat 2024 seawal-awalnya, dengan pindaan kepada undang-undang akan perlu dilakukan.



Kini terdapat sekitar 73,200 pemandu kereta sewa privet, pemandu teksi dan pekerja penghantaran yang menggunakan platform dalam talian, seperti Grab, Gojek dan foodpanda.



Golongan ini berada dalam keadaan samar-samar antara golongan pekerja dengan individu yang bekerja sendiri, kerana mereka boleh menentukan bilangan jam mereka bekerja tetapi tidak boleh menetapkan harga atau membina kumpulan pelanggan sendiri.



Saranan yang dikemukakan akan menjadikan perlindungan asas untuk mereka lebih sejajar dengan pekerja dalam sektor lain, yang kini dilindungi di bawah Wica dan mesti membuat sumbangan bersama CPF.



Pengerusi jawatankuasa, Cik Goh Swee Chen, dalam satu sidang media semalam berkata pihaknya menyedari bahawa saranan yang dibuat itu akan mempunyai kesan, namun berharap orang ramai dapat melihat pada manfaatnya yang melebihi impaknya.



"Di luar saranan jawatankuasa, setiap orang dalam masyarakat perlu memainkan peranan untuk memperkukuh perlindungan bagi pekerja platform ini. Ini termasuk pekerja platform sendiri, yang akan perlu mengetepikan lebih banyak wang bagi keperluan perumahan dan persaraan. Kami menjangkakan pendapatan keseluruhan yang lebih tinggi jika ia termasuk sumbangan CPF oleh syarikat platform.



"Syarikat platform dan pengguna akan perlu menyesuaikan diri pada kos yang lebih tinggi bagi khidmat sedemikian," kata beliau.



Menurut laporan jawatankuasa itu, kadar sumbangan CPF akan dinaikkan secara bertahap dalam tempoh lima tahun sehingga ia mencapai kadar semasa, melainkan gangguan ekonomi besar memerlukan garis masa lebih lama.



Ini bermakna kenaikan kadar sumbangan CPF purata 2.5 peratus bagi pekerja platform dan 3.5 peratus bagi syarikat platform setiap tahun.



Penasihat jawatankuasa, Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Tenaga Manusia), Dr Koh Poh Koon, berkata terutamanya bagi pekerja lebih muda, jawatankuasa itu mahu mereka mempunyai keupayaan untuk memiliki rumah.



"Di Singapura, kebanyakan bayaran rumah oleh ramai pekerja dilakukan melalui sistem CPF. Oleh itu, bagi pekerja platform ini, mempunyai sumbangan CPF juga akan membolehkan mereka memiliki rumah," kata beliau.



Sementara itu, oleh sebab risiko kecederaan bagi pekerja platform adalah serupa dengan pekerja yang melakukan kerja lain yang serupa, insurans pekerja platform akan diberi mandat untuk meliputi tiga bidang sama di bawah Wica - perbelanjaan perubatan, kerugian pendapatan dan pampasan sekali gus untuk kehilangan upaya kekal atau kematian.



Jawatankuasa itu berkata syarikat platform akan bertanggungjawab memberi pampasan kepada pekerja sekiranya pekerja itu sedang bekerja untuk platform mereka ketika kecederaan berlaku.



Namun, ramai pekerja platform bekerja bagi pelbagai platform, dan ini bermakna pendapatan seorang pekerja yang cedera itu bukan hanya akan terjejas pada satu platform tetapi juga platform lain yang digunakannya.



Justeru, jawatankuasa itu juga menyarankan bagi syarikat platform membuat pampasan berdasarkan pendapatan keseluruhan pekerja, selepas ditolak perbelanjaan, merentas semua platform dalam sektor di mana kecederaan dialami.



Ini bermakna jika pekerja GrabFood yang cedera itu juga bekerja bagi platform lain seperti foodpanda dan Deliveroo, Grab akan perlu memberi pampasan kepada pekerja itu berdasarkan pendapatan bersihnya dengan ketiga-tiga platform itu.



LAPORAN SELANJUTNYA: CPF bagi pekerja platform: Boleh jejas pengguna dari segi 'kos', tapi kuasa pasaran tentukan permintaan




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >