PEKERJA yang bekerja di sekitar pelanggan yang tidak berpelitup, seperti di tempat makan atau gim, akan perlu kerap menjalani ujian Covid-19 sedang Singapura melangkah ke Fasa Tiga (Kewaspadaan Dipertingkat) mulai Isnin.
Ini norma baru yang perlu mereka hadapi bagi mengurangkan penularan virus itu dalam sekitaran berisiko tinggi apabila lebih banyak kegiatan tanpa pelitup dibenarkan disambung dalam proses pembukaan semula dua peringkat itu.
Pengujian wajib itu adalah sebahagian tindakan setempat agresif yang diambil Singapura dalam usaha mengelakkan seberapa mungkin perlunya melaksanakan sekatan seluruh negara seperti satu lagi pemutus rantaian jangkitan (CB), kata Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, semasa sidang maya Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian (MTF) semalam.
"Kami rasa inilah caranya untuk hidup dengan virus itu, sambil membolehkan kebanyakan kegiatan disambung," kata Encik Wong, yang juga pengerusi bersama MTF.
"Kami tidak akan dapat menghapuskan semua kes tersembunyi dalam masyarakat, jadi kita perlu belajar hidup dengan virus itu, dan cuba yang terbaik mungkin untuk mengurangkan penyebaran dan mengurangkan risiko kelompok besar," kata Encik Wong.
Salah satu cara, katanya, adalah memperkenalkan pengujian lebih kerap dengan meletakkan kakitangan yang bekerja dalam sekitaran berisiko tinggi di bawah rejim Pengujian Mudah dan Cepat (FET) menggunakan ujian seperti ujian pantas antigen (ART) yang boleh memberi keputusan dalam masa sekitar 30 minit dan boleh dilakukan di lokasi tempat kerja.
Semua pekerja perlu menjalaninya, tanpa mengambil kira status vaksinasi mereka.
Mereka termasuk kakitangan di sektor makanan dan minuman (F&B) yang membenarkan pelanggan menjamu selera, staf di studio kecergasan dan gim, dan pekerja yang menawarkan khidmat penjagaan peribadi seperti solekan, sauna dan rawatan muka.
Pengujian FET mandatori akan dilancarkan secara berperingkat kepada perniagaan besar terlebih dahulu, diikuti perniagaan lebih kecil.
Bagi perniagaan F&B, pengujian FET mandatori akan bermula bulan depan.
Ini sedang kegiatan menjamu selera di luar dibenarkan untuk disambung mulai 21 Jun, dengan saiz kumpulan dihadkan kepada lima orang.
Encik Wong berkata pemerintah sedang menetapkan butiran bagi rejim pengujian baru itu, seperti berapa kerap pengujian perlu dilakukan dan sama ada ia boleh ditadbirkan sendiri.
Pemerintah juga akan membiayai kos pengujian bagi tempoh tiga bulan akan datang, kata Encik Wong.
"Kami melakukan demikian dalam tempoh ini kerana adalah penting untuk memastikan semua orang diuji secara kerap dan melaksanakannya. Melebihi itu, majikan perlu mula memikirkan tentang menyertakan proses-proses ini sebagai sebahagian pelan kesinambungan perniagaan (BCP)," katanya.
Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, yang juga pengerusi bersama MTF, berkata pembukaan semula Singapura kini tidak begitu berkait kepada apakah kes-kes harian yang dilaporkan, sebaliknya beralih kepada keupayaan yang telah dibangunkan untuk mengekang setiap kelompok.
Keupayaan ini termasuk pengujian, kuarantin, penjejakan kontak dan vaksinasi.
"Ini beberapa peralihan yang kita mula lihat. Dan saya benar-benar berharap kita telah meletakkan CB sebagai sebuah alat di belakang kita. Bahawa di masa akan datang dengan keupayaan seperti ini, kita tidak perlu mengambil pendekatan keras yang meluas seperti CB," kata Encik Ong.
"Ini hanya tercapai dengan kerjasama semua orang. Secara berperingkat kita boleh melonggarkan langkah Covid-19 dari 14 Jun, bermula dengan menambah saiz perhimpunan sosial daripada dua kepada lima orang. Jika semua berjalan lancar, makan di tempat menjual makanan boleh dilakukan semula pada 21 Jun. Saya berharap kita terus mematuhi langkah pengurusan selamat dan mendapatkan vaksin apabila ditawarkan."
- Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong.