JUMLAH pekerja warga Singapura dan Penduduk Tetap (PR) berkurangan dalam separuh pertama tahun ini, manakala bilangan pekerja asing bertambah tetapi pada kadar yang terus perlahan.
Menurut kenyataan pasaran buruh setengah tahun Kementerian Tenaga Manusia (MOM) yang dikeluarkan pada Selasa (15 Sep), bilangan orang yang bekerja di Singapura dari Januari hingga Jun lalu berkurangan 1,000 kepada 3,627,500 pekerja.
Ini berbanding pertumbuhan sebanyak 52,200 pekerja dalam tempoh sama tahun lalu.
Pengurangan itu kebanyakannya lantaran pengurangan seramai 8,900 pekerja warga Singapura dan PR, yang sebahagian besarnya disebabkan pekerja sambilan bawah umur 25 tahun meninggalkan tenaga kerja.
Tidak termasuk pembantu rumah asing, pekerja asing bertambah tetapi kadarnya perlahan kepada 8000 orang - pertumbuhan setengah tahun paling rendah sejak kemelesetan 2009.
Pasaran buruh ketat menyebabkan gaji naik tahun lalu, tetapi lebih perlahan daripada pada 2013.
Gambaran suram produktiviti pula berterusan dalam separuh pertama tahun ini, dengan ketiga-tiga sektor - pengilangan, binaan dan perkhidmatan - merosot, walaupun pada kadar lebih kecil daripada pada separuh kedua tahun lalu.