Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Pelajar dewasa ikuti kursus latihan di Yayasan Mendaki naik 46%

Lebih 1,700 peserta sertai kursus berkaitan kemahiran digital
Feb 04, 2022 | 05:30 AM



JUMLAH pelajar dewasa yang menghadiri kursus latihan dengan Yayasan Mendaki melonjak sebanyak 46 peratus pada tahun lalu, berbanding tahun pra pandemik, 2019.



Dalam kalangan lebih 1,700 orang itu, kursus berkaitan kemahiran digital adalah antara yang paling popular.



Pertumbuhan ini mencerminkan kesedaran masyarakat yang semakin tinggi dalam usaha meningkatkan kemahiran dan peri pentingnya kemahiran digital - sesuatu yang kian diperkukuh dalam pandemik, kata Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), yang juga Timbalan Pengerusi Yayasan Mendaki, Encik Zaqy Mohamad.



Justeru, bagi mengisi jurang dan keperluan pelajar dewasa, Mendaki akan menumpukan usaha dan sumber bagi membantu golongan itu memanfaatkan peluang pekerjaan dalam era pasca pandemik sedang trend ekonomi terus berubah.



Memberikan butiran terkini dalam satu wawancara di ibu pejabat Mendaki, Encik Zaqy berkata perangkaan terkini menunjukkan perkembangan masyarakat dewasa Melayu yang menggalakkan.



Ini khususnya berkaitan dengan sikap pembelajaran sepanjang hayat.



"Sebelum ini, keprihatinan kita ialah masyarakat kita tidak atau kurang mempunyai pemikiran atau kesedaran mengenai pembelajaran sepanjang hayat.



"Namun kini, hakikatnya lebih ramai yang tampil untuk meningkatkan diri secara profesional dan mendakap kemahiran digital, ia satu perkembangan yang memberangsangkan," ujar beliau.



Menurut Encik Zaqy, antara kursus paling popular disertai pada tahun lalu ialah yang berkaitan dengan digital.



Ini adalah petanda baik kerana ia mencerminkan masyarakat mula faham dan menghayati betapa pentingnya kemahiran digital dalam pasaran pekerjaan mahupun bagi perniagaan, kata Encik Zaqy yang percaya ada juga peniaga yang aktif menimba kemahiran.



"Lebih penting lagi, sambutan yang baik terhadap kursus digital adalah bukti bahawa mesej tentang betapa pentingnya kemahiran digital, lebih-lebih lagi daripada pengalaman pandemik, telah meresap dalam jiwa masyarakat dan diterima masyarakat kita.



"Jadi, apa yang ketara, masyarakat semakin ghairah untuk menimba ilmu dan kemahiran agar dapat berdaya tahan dan relevan dalam pasaran pekerjaan," tekan beliau.



Lantaran itu, Mendaki bermatlamat memainkan peranan lebih aktif bagi memenuhi keperluan yang meningkat untuk membantu golongan pelajar dewasa serta mengisi jurang yang ada, jelas Encik Zaqy.



"Melihat perkembangan masyarakat dan keperluan masa kini untuk kita mempersiapkan tenaga kerja dalam trend pekerjaan dan ekonomi yang semakin berubah, terutama selepas pandemik nanti, Mendaki kini mahu memberi tumpuan lebih khusus kepada pelajar dewasa.



"Respons Mendaki dalam memberi sokongan kepada masyarakat di tengah-tengah perkembangan ini adalah penting," ujarnya.



Kata Encik Zaqy, ini akan dilakukan menerusi kerjasama penting pada tahun ini dengan tiga pihak utama iaitu SkillsFuture Singapura (SSG), Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) dan Google.



Misalnya, kerjasama dengan IMDA akan meliputi program yang mengajar masyarakat mengenai kemahiran digital bagi keperluan harian dan bukan tujuan pekerjaan sahaja.



Manakala mereka yang inginkan pentauliahan berkaitan digital, boleh meneroka kursus singkat ditawarkan Google.



Melalui kerjasama ini, pelajar dewasa akan dapat mengakses dan memanfaatkan kursus dan latihan lebih luas dan memenuhi keperluan mereka, kata Encik Zaqy.



Awal dari ini juga, Mendaki telah menugaskan penasihat kerjaya di lima pejabat satelit dan tiga ruang belia di kampus Institut Pendidikan Teknikal (ITE), dalam pendekatan bantuan yang turun ke padang.




"Sebelum ini, keprihatinan kita ialah masyarakat kita tidak atau kurang mempunyai pemikiran atau kesedaran mengenai pembelajaran sepanjang hayat.

Namun kini, hakikatnya lebih ramai yang tampil untuk meningkatkan diri secara profesional dan mendakap kemahiran digital, ia satu perkembangan yang memberangsangkan."

- Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), yang juga Timbalan Pengerusi Yayasan Mendaki, Encik Zaqy Mohamad.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >