SATU-SATUNYA kes Covid-19 baru dalam masyarakat yang tidak berkait buat masa ini melibatkan pelajar lelaki berusia 19 tahun dari Hwa Chong Institution.
Beliau kali terakhir ke sekolah pada 18 Mei.
Pelajar itu mengalami demam, sakit tekak dan sakit badan pada 2 Jun dan menemui doktor keesokan harinya.
Baki enam kes dalam masyarakat berkait dengan kes terdahulu daripada tiga kelompok berbeza.
Mereka termasuk pelajar lelaki berusia lapan tahun dari Sekolah Rendah Fuhua yang kali terakhir ke sekolah pada 18 Mei.
Sebanyak enam kes yang diimport turut disahkan, melibatkan dua warga Singapura dan empat penduduk tetap.
Sementara itu, lagi 23 kes Covid-19 telah dibenarkan pulang dari hospital atau kemudahan pengasingan masyarakat.
Lagi 229 kes sedang dirawat di hospital, termasuk dua yang berada dalam keadaan kritikal.
Lagi 316 diasingkan dan dijaga di kemudahan masyarakat.
Seramai 33 orang telah meninggal dunia akibat komplikasi disebabkan oleh jangkitan Covid-19.