Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:06
Asar
4:20
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Pelajar ITE raih keputusan cemerlang walau perlu cari nafkah sara hidup datuk, nenek

Jul 28, 2022 | 05:30 AM



TIDAK seperti pelajar lain yang sebaya dengannya, beliau terpaksa memikul tanggungjawab berat mencari nafkah sejak seawal sekolah menengah lagi, di samping mengimbangi tuntutan sekolah.



Beliau melakukan demikian bukan sekadar untuk mendapatkan wang saku buat diri sendiri, malah kerana sifat ambil berat mahu membantu menyara datuk dan neneknya yang membesarkan beliau dan abangnya.



Ini setelah ibu bapa mereka bercerai sebelum mereka jejak ke tajaka dan tidak lagi berhubungan dengan mereka.



Walaupun jadual Encik Muhammad Ezekeyle Ezra Olbrich Wilfred John Olbrich sentiasa padat - membahagikan masa untuk belajar dan mencari rezeki - pelajar Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Barat itu membuktikan bahawa di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.



Pemuda berusia 19 tahun itu berada dalam senarai pengarah untuk kesemua semester dan menamatkan pengajian Nitec dalam bidang Mekatronik & Robotik dengan Purata Nilai Gred (GPA) sempurna 4.0.



Malah, beliau dianugerahkan Pingat Emas Tay Eng Soon yang khas buat lulusan ITE cemerlang yang mencapai prestasi kursus cemerlang, melibatkan diri secara aktif dalam kegiatan kokurikulum (CCA) dan menyumbang kepada kesejahteraan dan pembangunan kolejnya semasa Majlis Tamat Pengajian ITE semalam.



Terkejut dan bersyukur atas pengiktirafan itu, Encik Ezra berkata sebenarnya terdapat banyak detik dalam hidupnya di mana beliau mahu putus asa.



Neneknya meninggal dunia beberapa tahun lalu akibat barah, manakala datuknya pula diserang angin ahmar.



Pelajaran Encik Ezra turut terjejas dan pelajar aliran ekspres itu kecundang dalam peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat 'O'.



"Saya kemurungan apabila nenek saya meninggal.



"Saya ada peperiksaan setelah itu tetapi tidak hadir bagi salah satu daripadanya. Saya pun memberitahu diri saya sampai bila saya ingin begini? Siapa yang akan menyokong keluarga saya dan diri saya. Saya cuba kekalkan pemikiran yang positif," ujarnya.



Walaupun merancang ke politeknik, tetapi terpaksa mengambil jalan lebih panjang ke ITE disebabkan keputusannya, Encik Ezra membulatkan tekad dan memberitahu dirinya supaya terus memberikan yang terbaik dalam pelajaran kerana "ia bukan garisan penamat".



Disebabkan keputusannya yang cemerlang dalam Nitec, Encik Ezra dapat melanjutkan pengajian terus ke tahun kedua Higher Nitec dalam jurusan yang sama.



Sehingga kini, beliau tetap melakukan kerja sambilan walaupun tuntutan sekolah menggunung.



"Bagi kerja penghantaran, terdapat waktu sibuk, iaitu antara 11 pagi dengan 1 petang dan antara 5 petang dengan 8 malam. Selalunya, insentif tinggi ketika waktu sibuk, jadi saya akan kejar waktu sibuk.



"Kini di Higher Nitec, saya tidak ada masa pulang ke rumah, jadi saya bawa beg penghantaran saya ke sekolah," katanya, yang menggunakan basikal yang dibeli arwah neneknya untuk beliau sebagai mod pengangkutan.



Bagi Encik Ezra, masa itu emas.



Beliau mengakui sudah lama beliau tidak berjumpa dengan rakan-rakan.



Kawan-kawan yang 'lepak' bersamanya selalunya rakan sedarjah dan itu pun sewaktu masa rehat makan tengah hari.



Biarpun begitu, Encik Ezra terlibat secara aktif dalam kampus sekolah dan kegiatan masyarakat, antaranya sebagai mentor pelajar.



Beliau juga merangkul beberapa anugerah, antaranya Anugerah Bestari 4PM dan Anugerah Pencapaian Belia Kebangsaan (NYAA) Gangsa.



Sifat tidak mementingkan diri sendiri juga terserlah apabila beliau membantu menyelamatkan satu keluarga daripada sebuah flat yang terbakar dan menerima Anugerah Responder Pertama Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) pada 2019.



Bercita-cita tinggi, Encik Ezra berhasrat melanjutkan pengajian ke politeknik dan selanjutnya, menara gading.



Bersemangat, beliau berkata: "Saya mahu menjadi versi terbaik diri saya dan terus membantu orang lain untuk cemerlang bersama saya.



"Saya mahu menjadi sumber motivasi untuk keluarga dan rakan saya, menjalani hidup sebagai contoh yang baik. Tidak ada ruang untuk berputus asa."






Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >