Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Pelajar kurang bernasib baik terima komputer riba diperbaharui

39 telah diberikan, 44 bakal terima hasil sumbangan kumpulan sukarela SGbono
Sep 01, 2021 | 05:30 AM



DENGAN hanya satu komputer riba di rumahnya, Nur Herlyn Marsha Nur Hisham, 15 tahun, sebelum ini perlu bergilir-gilir bersama adik-beradiknya yang lain untuk menyelesaikan tugas dalam talian serta pembelajaran di rumah (HBL) mereka.



Kadangkala, anak keempat dalam tujuh beradik itu terpaksa menggunakan telefon bimbit beliau yang skrinnya kecil untuk menonton pelajaran yang dijalankan dalam talian.



Semalam, pelajar Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah itu menerima komputer ribanya sendiri, atas bantuan yang dihulurkan kumpulan sukarela SGbono.



"Saya amat gembira. Ia berguna bagi saya kerana saya tidak perlu menggunakan telefon bimbit saya sekerap dulu.



"Dengan komputer riba yang saya ada kini, saya tidak perlu bersusah payah," ujarnya yang menambah alat itu memberinya lebih dorongan untuk belajar.



Beliau turut berkata bantuan itu datang tepat pada waktunya memandangkan beliau bakal menduduki peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat 'O' tahun depan dan komputer riba tersebut akan memudahkannya untuk mengulangkaji pelajaran.



Nur Herlyn Marsha merupakan antara sekitar 40 pelajar madrasah kurang bernasib baik yang telah menerima komputer riba.



SGbono pertama kali diperkenalkan kepada Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) oleh Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) Jun lalu.



Pada awal Ogos, SGbono mengagihkan komputer riba diperbaharui kepada 31 pelajar dari Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah, Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah dan Madrasah Al-Ma'arif Al-Islamiah.



Semalam, lagi lapan pelajar dari Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah, dan Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah menerima komputer mereka.



Lagi 44 komputer riba bakal diberikan kepada pelajar dari ketiga-tiga madrasah tersebut.



Menteri Negara (Perhubungan dan Penerangan merangkap Pembangunan Negara), Encik Tan Kiat How yang hadir bagi acara pengagihan komputer riba semalam di Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah berkata:



"Kami bertekad untuk tidak membiarkan mana-mana warga Singapura untuk ketinggalan dalam masa depan yang semakin digital. Itulah semangat gerakan Digital for Life - mengumpulkan korporat, pertubuhan masyarakat, individu dan agensi pemerintah untuk tujuan penting ini."



Beliau menambah bahawa selain akses digital, kecelikan dan kesejahteraan digital juga penting.



Justeru, IMDA, bersama rakan Digital for Life seperti Majlis Kecelikan Media juga akan menyediakan bengkel bagi guru serta pelajar madrasah untuk melengkapi mereka dengan tabiat serta kemahiran digital yang betul untuk mengemudi ruang siber dengan selamat, jelasnya.



SGbono bermula pada 2018 dan menyediakan perkhidmatan teknologi maklumat (IT) serta komputer riba secara percuma kepada keluarga kurang bernasib baik.



Komputer riba yang diterima daripada penyumbang individu dan korporat diperbaharui dan didermakan kepada mereka yang memerlukan.



Cik Felicia Seah, anggota jawatankuasa eksekutif SGbono berkata:



"Walaupun HBL telah menyebabkan peningkatan dalam permintaan komputer riba diperbaharui, ini telah sentiasa menjadi jurang berterusan untuk diisi, dan bukan disebabkan pandemik Covid-19.



"Kerjasama ini untuk menyokong pelajar madrasah dari kumpulan berpendapatan lebih rendah dapat dilakukan dengan mengadakan pendekatan bersama agensi seperti IMDA dan Muis untuk mendapat tahu bagaimana kumpulan sukarela seperti kami dapat membantu merapatkan beberapa jurang ini dengan lebih baik."




INGIN SUMBANG KOMPUTER YANG SUDAH DIPAKAI KEPADA SGBONO?



Serahkan komputer terpakai anda di:



Kelab Masyarakat Kampong Chai Chee

11 Bedok North Street 1, #01-31, S (469662)

10 pagi - 6 petang (ditutup pada cuti awam)



Balai Rakyat Siglap

300 Bedok South Avenue 3, S (469299)

10 pagi - 6 petang (ditutup pada cuti awam)



Balai Rakyat Bedok

850 New Upper Changi Road, S (467352)

10 pagi - 6 petang (ditutup pada cuti awam)



Kelab Masyarakat Fengshan

Blk 187B, Bedok North Street 4, #01-52,  S (462187)

10 pagi - 6 petang (ditutup pada cuti awam)



Kelab Masyarakat Changi Simei

10 Simei Street 2, S (529915)

10 pagi - 6 petang (ditutup pada cuti awam)



Anda juga boleh kirimkan e-mel kepada admin@sgbono.org jika ada sebarang soalan mengenai sumbangan komputer riba




"Saya amat gembira. Ia berguna bagi saya kerana saya tidak perlu menggunakan telefon bimbit saya sekerap dulu.

Dengan komputer riba yang saya ada kini, saya tidak perlu bersusah payah."

- Nur Herlyn Marsha Nur Hisham, pelajar Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >