PETAH dan bijak berhujah, kegiatan bahas sudah menjadi minat Encik Mohammad Rizuan Mohammad Yasin sejak di bangku sekolah lagi.
Malah, beliau muncul sebagai pembahas terbaik dalam pertandingan di sekolah menengahnya dahulu, dan dari situ, mulalah tertanam cita-cita untuk menjadi seorang peguam kelak.
Namun, tidak semua yang percaya akan potensinya - yang ketika itu seorang pelajar aliran Normal (Akademik) - untuk mencapai impian menjadi seorang peguam.
"Saya pernah diberitahu semasa di sekolah dahulu agar 'jangan cuba berlagak bijak'. Komen sebegini sebenarnya mendorong saya untuk bekerja lebih keras.
"Orang suka meletakkan individu dalam kategori. (Contohnya) Jika anda pelajar aliran ini, anda akan jadi seperti ini.
"Jika anda pelajar ITE, anda akan jadi seperti itu. Saya tidak pernah lihat diri saya lebih rendah daripada pelajar yang jauh lebih baik daripada saya.
"Apa yang penting adalah individu itu sendiri dan impian serta kemahuannya, dan seberapa jauh individu itu akan bekerja keras untuk memenuhi impian dan kemahuannya," kata beliau.
Encik Rizuan, 33 tahun, berjaya membuktikan kepada pengkritiknya bahawa mereka salah apabila cita-citanya menjadi seorang peguam akhirnya tercapai pada 2016.
Bahkan, beliau antara peguam termuda di Singapura yang memiliki firma guamannya sendiri - Emerald Law LLC, yang dikendalikan bersama seorang rakan pengarah urusan sejak 2019.
Emerald Law telah dikenal pasti sebagai antara firma guaman terbaik Singapura pada tahun lalu dan tahun ini hasil tinjauan tahunan yang dijalankan bersama oleh The Straits Times dan syarikat penyelidikan pasaran Statista.
Namun, perjalanan anak sulung dua beradik itu untuk mencapai cita-citanya turut berliku.
Encik Rizuan menceritakan bahawa perniagaan logam sekerap yang dijalankan bapanya dahulu tidak berjalan dengan baik seperti dirancang.
Selama sekitar 15 tahun, bapanya melakukan "kerja sana sini" dan juga projek ad-hoc, tetapi sumbangan utama datang daripada pendapatan ibunya yang bekerja sebagai penolong terapi.
Mujur, Encik Rizuan berkata beliau mendapat sokongan oleh saudara-maranya yang berhati murni membantu membayarkan yuran tuisyen bagi mata pelajaran Matematik dahulu.
Bahkan, beliau juga mendapat bantuan daripada beberapa pihak, termasuk ibu saudaranya, Yayasan Mendaki dan Yayasan Lee, yang menolong membiayai pengajian undang-undangnya di Universiti Manchester.
Ibu bapanya juga telah menyewakan satu bilik di rumah mereka supaya dapat membuat simpanan tambahan bagi yuran universitinya.
"Dengan usaha yang dilakukan pelbagai pihak supaya saya dapat belajar di luar negara, saya ingin memastikan apabila saya pulang, saya bukan hanya dapat memenuhi cita-cita saya malah melakukan sesuatu yang lebih besar," kata beliau, sambil menambah bapanya kini menjalankan perniagaan syarikat keselamatan dengan berjaya.
Encik Rizuan berkata keputusannya untuk memiliki firma guamannya sendiri pada usia muda adalah kerana ia satu bidang di mana beliau mempunyai minat mendalam dan yakin akan kebolehannya, dan beliau juga mahu menjadi berdikari dan diperkasa dari segi kewangan.
Firma beliau, Emerald Law LLC, mengendalikan pelbagai kes, termasuk komersial, korporat dan juga keluarga, dengan Encik Rizuan juga mempunyai minat dalam undang-undang syariah.
Dengan cita-citanya kini sudah tercapai, Encik Rizuan mahu memainkan peranan untuk menyumbang kembali kepada masyarakat, terutamanya dalam mempertingkat masyarakat Melayu/Islam.
Encik Rizuan berharap dapat membantu masyarakat dari segi pemerkasaan pengetahuan dan juga ekonomi.
"Saya rasa apa yang kita perlukan untuk lebih maju ke hadapan ialah anjakan minda. Ia bukan mengenai mempunyai lebih ramai peguam, akauntan, jurubank - ya, tentu sekali ia bermanfaat untuk mempunyai lebih ramai karyawan seperti ini dalam masyarakat kita - tetapi itu hanya satu aspek kecil (dalam memajukan masyarakat lagi).
"Apa yang benar-benar akan menggerakkan masyarakat adalah anjakan minda ke arah diperkasa dari segi ekonomi.
"Perkasakan diri anda dari segi ekonomi dan banyak masalah akan diselesaikan. Bagi saya, kedua-dua pemerkasaan pengetahuan dan pemerkasaan ekonomi adalah penting," kata beliau.