Pelajar NTU cipta baju hujan praktikal untuk penunggang motosikal
Pasukan lapan pelajar kejuruteraan menang tempat kedua dalam pertandingan
Jun 07, 2016 | 05:30 AM
APABILA hujan, penunggang motosikal tidak perlu bergegas turun membuka kotak di belakang kenderaan. Mereka juga tidak perlu lagi mendapatkan baju hujan yang bahagian atasnya terpisah daripada seluar lalu terkial-kial menyarungkannya secepat mungkin sebelum basah kuyup.
Dengan baju hujan cepat dipakai atau disebut 'Quickcoat', mereka hanya perlu memutar silinder akrilik di sisi motosikal bagi mengeluarkan baju hujan berbentuk jumpsut, menyarung jaket, melepaskan gulungan seluar yang divelkro lalu mengezipnya dari pangkal paha ke buku lali.