MAHASISWA pengajian bahasa, Cik Siti Nur Amirah Mohd Amin, daripada Universiti Teknologi Nanyang (NTU) ialah penerima Melayu pertama biasiswa Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI) bagi penterjemahan.
Cik Amirah, 21 tahun, merupakan antara enam individu yang menerima Biasiswa Khidmat Penerangan MCI (Penterjemahan) sejak biasiswa itu diperkenal pada 2015.
Tahun ini, seramai tiga orang menerima biasiswa tersebut.
Penerima biasiswa itu akan menyertai MCI sebagai pegawai penerangan setelah tamat pengajian.
"Tugas menterjemah dan menjelaskan dasar pemerintah dalam bahasa Melayu adalah penting agar masyarakat Melayu, terutama sekali mereka yang lebih fasih dalam bahasa ibunda, dapat memperoleh manfaat daripada dasar itu," ujar Cik Amirah.
Selain itu, dasar pemerintah yang dibentangkan dalam pelbagai bahasa akan memaparkan Singapura sebagai masyarakat yang inklusif, katanya.
Minat Cik Amirah, bekas pelajar Sekolah Gan Eng Seng dan Maktab Rendah Katolik, dalam bahasa berputik sejak beliau kecil lagi.
Selain gemar menonton drama Melayu bersama neneknya, Cik Amirah juga bergiat dalam Persatuan Bahasa Melayu di NTU.
Kini, beliau bukan sahaja minat mendalami bahasa Melayu, bahkan mengikuti kursus dalam bahasa Jepun.
"Kalau saya sesat di Jepun, agak- agak saya boleh juga mampu balik ke pangkal jalan," ujar Cik Amirah, yang turut berminat mempelajari bahasa Arab juga.
Biasiswa MCI itu akan membiayai yuran Cik Amirah, yang akan memulakan tahun ketiga pengajiannya di NTU tidak lama lagi, bukan sahaja untuk penggal akan datang, bahkan penggal sebelum ini.
Sokongan itu akan meringankan beban kewangan beliau, yang sebelum ini bekerja sambilan sebagai penjual di sebuah gedung runcit bagi menampung pengajiannya.
Bapanya, Encik Mohd Amin Misran, 52 tahun, seorang pegawai perkhidmatan, manakala ibunya, Cik Sumawati Sujak, 51 tahun, seorang kerani.